Malaysia berada di landasan demokrasi matang - Utusan Malaysia

Malaysia berada di landasan demokrasi matang

SANGETHA JAYAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perarakan dianjurkan Majlis Peguam bagi menyuarakan pandangan mengenai pemisahan kuasa dan kebebasan badan kehakiman semalam, membuktikan Malaysia terus berada di landasan demokrasi yang matang dan terbuka.

Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata, semua pihak berhak menyuarakan pandangan dan tuntutan terhadap kebenaran serta keadilan rakyat.

Katanya, meskipun tidak semua tuntutan yang dikemukakan oleh pihak peguam itu perlu dipersetujui namun prinsip Wanita PKR jelas iaitu mempertahankan sepenuhnya hak mereka untuk menyuarakan pendirian dan kebimbangan secara aman dan bertanggungjawab.

“Perhimpunan tersebut bukan soal menang atau kalah atau bukan soal setuju atau tidak, namun ia mengenai ruang-ruang untuk bercakap, berhujah, berbeza dan akhirnya memperkukuh sistem yang adil dan saksama. Inilah demokrasi yang kita mahukan iaitu demokrasi yang maju melalui langkah-langkah kecil rakyatnya yang berani dan bertanggungjawab.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Majlis Peguam, para peserta, pihak keselamatan dan semua pihak yang menjadikan ia manifestasi keharmonian demokrasi. Keadilan telah melangkah hari ini dan setiap langkah tersebut membawa kita lebih hampir kepada sebuah Malaysia yang demokratik, adil dan inklusif,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, berlangsung perarakan sejauh 2.6 kilometer oleh para peguam anjuran Majlis Peguam bermula dari Istana Kehakiman Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri.

Antara yang turut kelihatan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas; peguam, Haniff Khatri Abdullah dan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga.

Pada perarakan itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab turut menyerahkan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Zamri Misman.

Empat tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Membela Kebebasan Badan Kehakiman itu iaitu menyeru agar jawatan kepemimpinan kehakiman diisi dengan segera oleh hakim-hakim yang mempunyai perwatakan yang tidak tercemar, integriti, reputasi yang bersih, pengalaman kehakiman serta kepintaran yang diukur dan didemonstrasikan melalui rekod
pembuatan keputusan dan penghakiman bertulis yang berkualiti, konsisten dan jelas, serta dihormati oleh para hakim lain dalam Badan Kehakiman, para peguam, dan rakyat Malaysia.

Selain itu, Majlis Peguam mengulangi gesaan supaya minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) rasmi yang berkaitan diberikan kepada mereka tanpa berlengah.

Mereka mendesak agar siasatan segera dijalankan berhubung sama ada wujud campur tangan dalam urusan kehakiman dan
atau mengesahkan apa yang dikatakan minit mesyuarat JAC yang diedarkan dalam media sosial

Tambah Sangetha, perhimpunan tersebut juga berlangsung dalam suasana penuh tertib dan tidak berlaku sebarang kekecohan.

“Ia menyaksikan hanya suara matang yang mendukung keadilan dan prinsip institusi bebas. Keadaan ini mencerminkan kematangan institusi negara dalam menguruskan hak berhimpun secara aman sebagai mana dijamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN