Kes Zara Qairina: Tiada siapa akan dilindungi

Kes Zara Qairina: Tiada siapa akan dilindungi

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Sabah dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah pada 17 Julai lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan kini di bawah tanggungjawab polis dan semua pihak diminta memberi ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti.

“Saya mengikuti rapat perkembangan kes ini. Namun, sebarang spekulasi awam harus dihentikan agar tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis,” katanya dalam kenya­taan, semalam.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Tiada siapa akan dilindungi. Sekiranya wujud kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan akan diambil mengikut saluran yang ditetapkan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Fadhlina berkata, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah komited memastikan kebajikan murid, guru, keluarga serta warga sekolah yang terlibat sentiasa terpelihara.

“Bantuan segera termasuk sokongan psikososial turut disediakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Semoga mereka diberikan kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial insiden melibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustafa, Limauan, Sabah dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan, 17 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN