Kerajaan teliti cadangan gubal akta khusus AI

Kerajaan teliti cadangan gubal akta khusus AI

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menggubal satu akta khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mengimbangi keperluan tadbir urus dengan aspirasi Malaysia sebagai peneraju teknologi AI di rantau ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penggubalan akta itu penting bagi memastikan perkembangan teknologi AI berlaku secara bertanggungjawab dan selari dengan nilai serta kepentingan negara.

“Daripada sudut dasar dan hala tuju strategik, Malaysia kini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi gelombang teknologi AI.

“Kesediaan ini disokong oleh strategi pemindahan teknologi yang praktikal, pembangunan bakat tempatan, kesedaran awam serta pelaksanaan dasar dan kawal selia yang menyeluruh,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V. Sivakumar (PH–Batu Gajah) berhubung kesiapsiagaan negara menghadapi gelombang kecerdasan buatan termasuk strategi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan tahap integrasi AI dalam tadbir urus serta sektor ekonomi utama.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif berskala besar bagi memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja negara dalam menghadapi revolusi AI.

Antara inisiatif tersebut termasuk program AI for MY Future dijalankan bersama Microsoft yang menyasarkan hampir 800,000 rakyat Malaysia melalui modul interaktif dan latihan bimbingan.

“Selain itu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) turut melaksanakan program seperti MyDigital Maker dan Cikgu Juara Digital yang memberi tumpuan kepada kemahiran digital seperti robotik dan analitik data.

“Melalui inisiatif ‘AI@Work’ bersama Google, kerajaan menyasarkan 445,000 penjawat awam menerima latihan menggunakan aplikasi AI seperti Gemini dan NotebookLM,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata, Malaysia kini menerajui penubuhan dan pengurusan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN, yang telah mendapat kelulusan rasmi dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-5 (ADGMIN) baru-baru ini.

Katanya, rangkaian yang akan berpusat di Malaysia itu berperanan sebagai pemudah cara dalam menyelaras dasar, tadbir urus dan keselamatan AI dalam kalangan negara-negara ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN