Kemboja serang Thailand

Kemboja serang Thailand

TENTERA Kemboja mengisi semula pelancar roket BM-21 di wilayah Preah Vihear selepas berbalas serangan dengan tentera Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kestabilan di rantau Asia Tenggara tercalar selepas Thailand dan Kemboja saling berbalas serangan udara, roket dan tembakan artileri sejak semalam, meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa orang awam termasuk anggota tentera.

Thailand menutup semua pin­tu sempadan dengan Kemboja selepas pertempuran antara ke­dua-dua negara tercetus di se­kurang-kurangnya di enam lo­kasi.

Keadaan itu juga menyebabkan Thailand memindahkan 40,000 penduduk dari 86 kampung di kawasan sempadan ke lokasi lebih selamat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua negara terjerumus dalam sengketa berpanja­ngan ekoran pertikaian sempadan melibatkan kawasan dikenali sebagai Segitiga Zamrud lokasi pertemuan sempadan Thailand, Kemboja dan Laos yang turut menempatkan beberapa kuil purba bernilai sejarah tinggi.

Pertikaian ini sudah berlarutan selama berdekad-dekad namun makin memburuk apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden tembak-menembak pada Mei lalu.

Semalam, ketegangan memuncak apabila Kemboja melepaskan roket dan artileri ke arah Thailand, manakala tentera Bangkok mengerahkan pesawat pejuang F-16 untuk me­lancarkan serangan balas.

Menurut kenyataan tentera Thailand, pertempuran bermula sekitar pukul 7.35 pagi (waktu tempatan) apabila unit pengawal di Kuil Ta Muen mengesan kehadiran dron Kemboja di ruang udara negara itu.

Kemudian, enam tentera bersenjata Kemboja termasuk seorang yang membawa pelancar bom tangan menghampiri pagar kawat berduri di hadapan pos tentera Thailand.

Tentera Thailand mendakwa memberi amaran lisan, namun sekitar pukul 8.20 pagi, pasukan Kemboja dikatakan melepaskan tembakan ke arah timur kuil tersebut.

Insiden terbaharu ini turut dikhuatiri meruntuhkan aspi­rasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) di ASEAN yang bermatlamat melindungi rantau Asia Tenggara daripada sebarang campur tangan atau pertelingkahan politik kuasa‐kuasa besar khususnya Amerika Syarikat (AS), Russia dan China.

Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berkata, situasi tersebut perlu ditangani secara berhati-hati, dan pihaknya akan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Kedutaan Thailand di Phnom Penh turut menggesa rakyatnya meninggalkan Kemboja secepat mungkin jika tidak mempunyai urusan penting.

Pertempuran berlaku hanya beberapa jam selepas Thailand mengusir duta besar Kemboja dan memanggil pulang duta­nya sebagai bantahan terhadap insiden lima anggota tentera rondaannya yang cedera akibat terkena periuk api.

Pada pagi Khamis, Kemboja mengumumkan hubungan di­plomatik dengan Thailand di­turunkan ke tahap paling rendah, dengan memanggil pulang hampir kesemua diplomatnya serta mengusir wakil diplomatik Thailand dari Ph­nom Penh.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet turut menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memohon satu mesyuarat tergempar diadakan segera bagi membincangkan konflik tersebut.

“Melihat kepada siri pen­cerobohan berat yang amat serius oleh Thailand baru-baru ini, yang secara nyata mengancam keamanan dan kestabilan rantau ini, saya dengan penuh harapan merayu agar UNSC segera mengadakan mesyuarat tergempar untuk menghentikan tindakan agresif Thailand,” katanya.

Sementara itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, mahu Thailand dan Kemboja kembali ke meja rundingan demi keamanan rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menyampaikan mesej kepada pemimpin kedua-dua negara itu dan berharap dapat berbincang secara langsung dalam masa terdekat.

“Saya percaya keamanan masih merupakan satu-satunya pilihan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN Semikonduktor 2025 (ASEMIS) di Petaling Jaya, semalam.

Perdana Menteri juga berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan kesan langsung konflik itu terhadap perdaga­ngan di rantau ini.

“Mereka juga mahu penyelesaian secara aman dan bersungguh-sungguh mahu meredakan konflik. Paling pen­ting, kedua-duanya mahu ASEAN kekal terlibat dan kami akan pastikan ia terus begitu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini