KUALA LUMPUR: IJM merangkul tiga anugerah sempena Anugerah Kelestarian & Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia ke-10 2025 yang berlangsung pada Khamis lalu.
Tiga anugerah tersebut adalah Anugerah Personaliti Kelestarian Asia (Kepimpinan ESG) yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff dan anugerah Syarikat Terbaik – Pengurusan Lebuh Raya, Komuniti dan Penjagaan Sosial oleh Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas).
Anugerah terakhir pula diterima oleh Lebuhraya Baru Pantai (NPE) yang membawa pulang anugerah Syarikat Terbaik – Pengurusan Lebuh Raya, Kelestarian dan Penjagaan Komuniti.
IJM menerusi kenyataan berkata, Wan Salwani pernah dinobatkan sebagai Personaliti Tahunan Kelestarian dan CSR Malaysia (Kepimpinan ESG) pada tahun lalu.

Menurutnya, NPE dan Lekas pada tahun lalu juga membuat pengajuran pelbagai aktiviti yang membuktikkan kelayakannya untuk merangkul dua anugerah berkenaan.
“Antara inisiatif utama yang dianjurkan oleh Lebuhraya NPE termasuk penganjuran IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan penglibatan komuniti dengan lebuh raya bertol secara selamat, menunjukkan komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti dan sokongan terhadap nilai sosial.
“Untuk Lebuhraya LEKAS, inisiatif utama termasuk penganjuran RHB Lekas ighway Ride 2024 bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan interaksi komuniti, serta sumbangan kepada Majlis Paralimpik Malaysia untuk kempen “TambahEMAS Paris 2024” bagi menyokong atlet para kebangsaan,” katanya.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Sementara itu, Wan Salwani berkata, kelestarian merupakan teras strategi penting dalam operasi dan perniagaan IJM untuk merangsang kejayaan dan pertumbuhan jangka panjang.
“Serta usaha membina infrastruktur negara. Kami percaya kelestarian bukan sekadar pematuhan, tetapi tentang membawa impak sebenar dan boleh diukur terhadap sumbangan nilai sosial komuniti.
“Inisiatif kami di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), NPE dan Lekas direka untuk mewujudkan nilai bersama, daripada mempromosikan gaya hidup sihat, membantu komuniti kurang berkemampuan, sehingga menjadi pemacu kemajuan,” katanya. – UTUSAN