Felda komited kukuh komuniti desa

Felda komited kukuh komuniti desa

Para pengunjung melihat produk-produk desa yang dijual pada Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) di MITEC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mega Karnival 3 Dimensi (KM3D) 2025 yang bermula semalam bakal menjadi simbol kebangkitan desa sebagai pemacu utama kemajuan negara.

Bertemakan ‘Desaku Mendunia’, karnival yang berlangsung sehingga 3 Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menyatukan tiga program utama negara iaitu Hari Peneroka Felda (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD), dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dalam satu acara bersepadu.

Felda dalam kenyataan berkata, tahun 2025 dilihat sebagai penting bagi Felda dalam melaksanakan transformasi perkhidmatan korporat dan memperkasa komuniti luar bandar.

Katanya, pelaksanaan MK3D mencerminkan kesungguhan agensi itu menyusun semula kekuatan institusi selaras dengan Pelan Strategik Felda 2025–2030.

“MK3D bukan sekadar sebuah pesta karnival atau platform pameran produk, tetapi juga merupakan manifestasi komitmen Felda dalam menyusun semula kekuatan institusi dan meningkatkan mutu perkhidmatan korporat untuk menyokong aspirasi nasional,” katanya.

Tambahnya, Felda mengambil langkah proaktif melalui pelbagai program sosioekonomi dan ke­usahawanan, membolehkan war­ga peneroka melangkah keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjadi pemain ekonomi desa yang lebih mandiri dan berdaya saing.

“Penekanan utama diberikan kepada pemerkasaan peneroka menerusi penstrukturan semula organisasi, peningkatan kecekapan perkhidmatan dan penyesuai­an terhadap kehendak teknologi serta komuniti moden,” katanya.

Antara kejayaan yang mencuri perhatian menjelang MK3D ialah kemenangan MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab Felda Trolak, yang meraih Anugerah Emas di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Felda, tetapi membuktikan keupayaan anak-anak komuniti luar bandar bersaing di peringkat global apabila diberi peluang dan sokongan,” katanya

Sementara itu, Hari Peneroka Felda yang menjadi teras utama karnival turut diraikan secara besar-besaran.

Prasambutan yang berlangsung di Felda Tunggal, Johor menarik lebih 15,000 pengunjung, manakala Mini Karnival Madani yang diadakan di Felda Wilayah Sahabat, Sabah mengukuhkan ikatan antara komuniti Felda di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Karnival Usahawan Desa (KUD) kali ini mencatat rekod penyertaan lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara. Produk makanan, kosmetik, fesyen dan inovasi pertanian memenuhi ruang pameran. Lebih 100 aktiviti termasuk sesi padanan perniagaan, pitching pelaburan dan bengkel eksport turut dirangka.

“SDSI pula mempersembahkan pelbagai produk unik dari seluruh daerah termasuk kopi Felda Maokil, makanan tradisional dari Gua Musang, batik dari Terengganu, dan tenunan eksklusif dari Pahang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN