SHAH ALAM: Petronas diingatkan supaya tidak memandang mudah getaran penghantaran gas dalam paip gas mereka bagi memastikan kawasan berkepadatan tinggi dirintangi jajaran utiliti sepanjang 2,600 kilometer (km) itu selamat daripada sebarang kemalangan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama antara syarikat-syarikat utiliti termasuk Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) yang mengawal selia utiliti di seluruh Selangor perlu untuk melaporkan kerja-kerja penyelenggaraan kepada kerajaan negeri.
“Kalau sebelum ini mereka memandang mudah tekanan daripada gas yang dihantar memberikan kesan getaran, mereka akan lebih peka dan proses untuk mereka lakukan semakan serta siasatan di tapak terbabit termasuk beberapa lokasi, saya rasa mungkin lebih daripada dua.
“Sebab, di Subang Jaya antara kawasan yang paling terdedah saya boleh katakan, hampir sebahagian daripada kawasan itu dirintangi oleh (jajaran) paip gas. Itu, kita kena meneliti laporan yang berat dan perlu disemak pada masa depan dan perlu ubah segera,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan isu Putra Heights dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, isu tanah lembut, lembab atau longgar yang dikatakan menjadi punca kepada tragedi letupan dekat Putra Heights pada 1 April lalu didakwa membimbangkan penduduk berhampiran sepanjang 2,600 km paip gas di seluruh negara.
Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau membangkitkan perkara tersebut kerana laporan siasatan yang didedahkan baru-baru ini tidak menyeluruh dan hanya merujuk kepada faktor fizikal dan struktur tanah semata-mata.
Amirudin kemudian memaklumkan kewujudan jengkaut yang didakwa terbenam dalam tanah akibat letupan paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu hanyalah teori siasatan selepas terdapat sebuah jentera sama yang lebih kecil dikesan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, teori tersebut ditimbulkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kepada beliau sewaktu lawatan awal di tapak kejadian.
Beliau berkata, sehingga kini polis masih melakukan siasatan untuk mencari jengkaut berkenaan yang digunakan untuk melakukan kerja-kerja korekan dan terakhir dilakukan pada 28 atau 29 Mac lalu.
“Kata beliau, kemungkinan jengkaut itu ada dekat kawasan sekitar dan ada kemungkinan yang membawa (memandu) eskavator itu terkorban dalam insiden tersebut. Itu teori asas, sebab beliau (Hussein) terlibat dalam siasatan forensik cukup lama.
“Itu adalah perkara yang berlaku dan ia melibatkan syarikat yang membuat penggalian di kawasan tersebut. Kebanyakannya adalah Red Sinergy yang saya kena dapatkan kepastian daripada polis,” jelasnya.
Katanya lagi, kewujudan jengkaut itu sebelum ini turut dinyatakan oleh kontaktor mengesahkan tertinggal salah satu jentera tersebut di kawasan sekitar yang mungkin terkesan daripada kawah akibat letupan tersebut. – UTUSAN