BEIJING: Selepas hampir empat tahun siasatan intensif dijalankan, dalang utama skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kini dipercayai menetap di Shanghai, China.
Pendedahan ini dibuat oleh dua wartawan penyiasatan tersohor, Bradley Hope dan Tom Wright, dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, yang disiarkan pada Jumaat.
Menurut mereka, Jho Low tinggal di kawasan elit Green Hills, memandu kereta mewah, dan menggunakan pasport Australia palsu. Lebih mengejutkan, beliau juga dikatakan beroperasi dari Pusat Kewangan Shanghai, walaupun pihak berkuasa Malaysia masih aktif menuntut ekstradisinya.
Dalam laporan itu juga, Jho Low didakwa kini memegang peranan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China, khususnya membantu syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa untuk terus beroperasi di peringkat global.
Jho Low merupakan watak utama dalam skandal kewangan 1MDB yang menyaksikan penyelewengan sebanyak AS$7.65 bilion (RM35 bilion).
Daripada jumlah itu, kira-kira AS$2.5 bilion (RM11.4 bilion) dikatakan disalurkan ke akaun peribadinya, manakala AS$6 bilion (RM27.3 bilion) digunakan untuk urus niaga bersama syarikat China bagi menutup jejak penipuan.
Jumlah kerugian keseluruhan kepada Malaysia dianggarkan mencecah AS$18 bilion (lebih RM82 bilion).
Pendedahan tersebut turut mengimbas kembali kehidupan mewah Jho Low, termasuk pembabitannya dalam penerbitan filem The Wolf of Wall Street, serta hubungan rapatnya dengan selebriti Hollywood seperti Leonardo DiCaprio.
Teknologi blockchain dan ketelusan maklumat global akhirnya membolehkan pihak penyiasat menjejaki individu yang pernah digelar sebagai “Billion Dollar Whale”, simbol bagaimana penipuan kewangan berskala besar mampu menggugat ekonomi negara.
Skandal ini turut mengheret bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.
Beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta pada 28 Julai 2020 berhubung dana SRC International, anak syarikat 1MDB.
Walaupun pihak berkuasa Malaysia belum mengeluarkan kenyataan rasmi susulan pendedahan terkini mengenai Jho Low, usaha untuk membawa pulang beliau ke negara ini masih diteruskan.










