LOS ANGELES: Pelakon, Aaron Phypers tampil membuka cerita mengenai masalah ketagihan Vicodin, sejenis ubat tahan sakit yang diambil bekas isterinya yang juga pelakon, Denise Richards sejak 10 tahun lalu.
Khuatir ketagihan tersebut memberi kesan kepada anak mereka, Eloise, Phypers menerusi pendedahan bertulis yang diperolehi portal Page Six memaklumkan Richards perlu segera mendapatkan bantuan untuk mengatasi masalah berkenaan.
“Saya pernah melihat dia pengsan kerana mengambil ubat tersebut secara berlebihan. Keadaan ini berbahaya lebih-lebih lagi apabila dia memandu kereta yang turut dinaiki anak kami,” katanya.
Terdahulu, mahkamah meluluskan perintah perlindungan selepas Richards membuat laporan polis berhubung penderaan yang dilakukan Phypers terhadapnya.
Laporan itu difailkan apabila pelakon filem Starship Troopers itu mendedahkan menerima ancaman bunuh oleh Phypers sekiranya masalah keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Phypers menafikan tuduhan tersebut malah mendakwa Richards yang melakukan keganasan terhadapnya.
Pemilik sebuah spa di Malibu itu pada masa yang sama mendedahkan Richards sebelum ini pernah berlaku curang.
“Saya hanya mendapat tahu sekitar awal tahun ini. Dia tetap menafikan meskipun saya temui banyak bukti yang tersimpan dalam telefon bimbitnya.
“Dia merayu agar saya tidak tinggalkan dia. Namun semakin lama semakin banyak pembohongan dan bukti saya temukan,” jelasnya.
Terdahulu, Phypers memfailkan perceraian pada tujuh julai lalu selepas enam tahun bergelar suami kepada Richards. Aktor tersebut menyatakan tiada kesefahaman sebagai punca mereka bercerai.