Cuaca panas terburuk, cecah45 darjah Celcius

Cuaca panas terburuk, cecah 45 darjah Celcius

CUACA panas direkodkan mencecah 40.1 darjah Celsius sekitar pukul 2 petang pada pengukur suhu di bulatan Chuping, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Malaysia mencatatkan suhu ekstrem mencecah 40 hingga 45 darjah Celsius, selari dengan tren peningkatan suhu purata tahunan sebanyak +0.17 darjah Celsius setiap dekad sejak 1969, sekali gus menjadikan tahun 2025 sebagai tahun paling panas dalam sejarah moden negara.

Kesannya, sehingga minggu ketiga bulan ini, lebih 300 kes keletihan haba dilaporkan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas malah risiko strok haba juga semakin me­ningkat di kalangan pekerja luar seperti buruh binaan, petani dan askar.

Pensyarah Fakulti Kejurute­raan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, musim Monsun Barat Daya yang kering dan kekurangan hujan serta diperkuat oleh fenomena El Nino dan kesan jangka panjang pemanasan global menjadi punca utama peningkatan suhu ini yang dijangka berterusan sehingga September.

Katanya, memburukkan keadaan apabila cuaca panas tanpa hujan yang dikesan sejak awal bulan ini menyebabkan paras empangan utama seperti empangan Muda dan Pedu di Kedah dilaporkan turun di bawah 55 peratus kapasiti.

Ujarnya, sekiranya cuaca kering itu berterusan, bekalan air dijangka mampu bertahan antara 30 sehingga 45 hari, manakala tasik-tasik kecil dan parit ladang pula mula kering, menjejaskan pengairan.

“Ia turut menjejaskan sektor pertanian apabila padi, sayur-sayuran dan buah-buahan tropika seperti durian dan rambutan mengalami tekanan air. Hasil padi di kawasan MADA Kedah antaranya dijangka susut 20 ke 30 peratus. Selain itu, industri akuakultur juga dijangka terjejas iaitu suhu tinggi menyebabkan kematian ikan dalam kolam dan penurunan kualiti air.

“Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia dan pakar iklim antarabangsa menunjukkan tren kenaikan suhu purata tahunan sebanyak +0.17 darjah celsius setiap dekad sejak 56 tahun itu menjadikan tahun ini sebagai paling panas dalam sejarah moden.

“Menurut laporan ASEAN Climate Outlook Forum, Malaysia merupakan antara negara tropika di rantau ini yang terjejas teruk akibat perubahan iklim dan gelombang haba,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam tinjauan semalam, indeks haba di Perlis dan Kedah antaranya mencecah 43-45 darjah Celsius pada pukul 1 tengah hari, antara angka paling tinggi dicatatkan sepanjang minggu ini.

Meskipun keadaan panas tersebut tidak seteruk negara-negara seperti India atau Asia Barat, namun impak terhadap sektor bekalan air, keselamatan makanan dan kesihatan awam di Malaysia adalah signifikan.

Katanya lagi, perubahan tersebut sebenarnya tidak lagi bersifat bermusim atau terpencil tetapi semakin kerap dan ia memberi kesan berskala besar dalam tempoh singkat.

“Justeru, pemantauan iklim dan pelan pengurusan risiko iklim perlu dipertingkatkan di semua peringkat, daripada perancangan kerajaan hingga ke tahap komuniti tempatan,” katanya.

Kata beliau, dalam berdepan cuaca panas melampau itu, orang ramai disaran untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti minum air secukupnya iaitu sekurang-kurangnya dua liter sehari serta mengelakkan aktiviti luar antara pukul 11 pagi sehingga 4 petang.

Antara lain katanya, memakai pakaian ringan dan pelindung cahaya matahari serta kekal berada di ruang yang sejuk dan berventilasi baik.

“Mereka juga dinasihatkan untuk memantau laporan cuaca dan indeks haba yang dikeluarkan oleh MetMalaysia serta mengelakkan sebarang pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran dan jerebu.

“Dalam jangka panjang, masyarakat perlu menyokong usaha penanaman pokok, pengurangan permukaan konkrit dan amalan kelestarian bagi mengurangkan kesan gelombang haba dan pemanasan bandar.

“Fenomena ini adalah peringatan jelas bahawa perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan tetapi realiti sedang kita hadapi hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×