Boleh ke Terengganu, terbang ke Kuala Lumpur tonton wayang-Mohd. Amar

Boleh ke Terengganu, terbang ke Kuala Lumpur tonton wayang-Mohd. Amar

PEMBUKAAN pawagam atau panggung wayang di Kelantan bukan sebagai satu keperluan kerana mereka boleh ke Terengganu atau terbang ke Kuala Lumpur untuk menonton filem.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rakyat negeri ini tidak melihat pembukaan pawagam atau panggung wayang sebagai satu keperluan kerana mereka boleh ke Terengganu atau terbang ke Kuala Lumpur untuk menonton filem.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu bukan perkara luar biasa dan sama sebagaimana yang dilakukan semasa melancong ke Thailand, membeli-belah, bercuti atau menikmati makanan.

“Rakyat Kelantan celik hiburan, tahu menilai, dan punya kemampuan. Isu pawagam sebenarnya tidak pernah menjadi perdebatan besar dalam kalangan rakyat Kelantan. Ia hanya kembali diperkatakan apabila filem Mat Kilau mencetuskan fenomena luar biasa.

“Pada waktu itu,muncul segelintir pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen, kononnya rakyat Kelantan dinafikan hak menonton filem di pawagam. Kebetulan pula ketika itu hampir menjelang pilihan raya, maka suasananya mudah dimanipulasi sebagai isu politik,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya malam tadi.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, panggung wayang tidak sesuai dijadikan sebagai kayu ukur kemajuan sesebuah negeri.

Katanya, hal ini kerana banyak pawagam di luar Kelantan telah ditutup kerana perubahan trend hiburan dan kewujudan pelantar penstriman atas talian (OTT) yang memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

“Jika benar ada hasrat untuk melihat industri filem berkembang, tumpuannya sepatutnya diberikan kepada usaha menggandakan penghasilan filem yang berkualiti, patuh syariah dan sarat nilai.

“Filem seperti Mat Kilau tidak seharusnya muncul sekali-sekala dalam tempoh dua tiga tahun. Kita perlu isi layar dengan karya yang berterusan, yang membina budaya dan mendidik masyarakat,” ujarnya.

Mengulas lanjut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, pendekatan Kelantan dalam isu panggung wayang bersifat berimbang dan penuh pertimbangan.

“Ia bukan keputusan yang dibuat secara tergesa atau bersifat populis, bahkan telah dibincangkan secara panjang lebar sejak zaman Tok Guru memimpin.

“Kita hanya ingin pastikan, apa jua bentuk hiburan yang dibawa, tidak merosakkan jiwa, tidak melalaikan masyarakat, dan sentiasa dalam lingkungan nilai yang kita junjung bersama,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN