Ay Ling ingatkan MB, Pusat tingkatkan peruntukan untuk Perlis hampir 65 peratus - Utusan Malaysia

Ay Ling ingatkan MB, Pusat tingkatkan peruntukan untuk Perlis hampir 65 peratus

GAN AY LING.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Wakil tunggal pembangkang di Perlis, Gan Ay Ling mengingatkan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli mengenai komitmen kerajaan Perpaduan yang tidak pernah meminggirkan negeri ini khususnya daripada segi peruntukan diterima.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu, hanya dalam tempoh dua tahun sahaja sejak 2022, kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meningkatkan peruntukan pembangunan untuk Perlis hampir 65 peratus.

Katanya, pada tahun 2022, sebanyak RM391.91 juta telah diterima dan meningkat kepada RM596.82 juta pada 2023 seterusnya melonjak kepada RM645.58 juta, pada 2024.

Ujar beliau, peningkatan tersebut bukan sekadar angka, tetapi bukti keprihatinan kerajaan Perpaduan terhadap kemajuan negeri Perlis.

“Kenyataan sinis Menteri Besar yang yang dilihat cuba memperkecilkan inisiatif kerajaan Perpaduan (berkaitan penurunan enam sen harga petrol) seolah-olah bantuan yang dihulurkan Kerajaan Persekutuan itu tidak cukup menarik amat mendukacitakan dan tidak wajar.

“Ia apabila fakta-fakta jelas menunjukkan komitmen tulen Perdana Menteri dalam memastikan Perlis tidak dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, Mohd. Shukri ketika memberi respon pengumuman Perdana Menteri khususnya melibatkan penurunan harga petrol sebanyak enam sen memaklumkan bahawa ia tidaklah terlalu mengejutkan seperti diharapkan rakyat.

“Pengumuman Perdana Menteri ini satu langkah yang baiklah, cuma enam sen (penurunan harga petrol) tidaklah mengejutkan, kalau 60 sen lagilah menarik. Mudahnya apa sahaja yang boleh memberi keuntungan, meringankan beban rakyat, satu perkara yang baik lah dan penurunan enam sen saya lihat lebih baik kalau 60 sen,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kelmarin.

Tambah Ay Ling, selain peruntukan pembangunan, jumlah penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Perlis juga melonjak lebih 142 peratus daripada 25,682 orang pada 2024 kepada 62,292, pada 2025.

Selain itu, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis itu, setelah 11 tahun tertangguh, projek sekolah sukan Perlis juga akhirnya berjaya dimulakan pada tahun ini atas keprihatinan Perdana Menteri.

“Kesemua inisiatif tersebut membabitkan peruntukan ratusan juta ringgit, bantuan langsung kepada puluhan ribu rakyat dan projek berimpak tinggi. Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Perpaduan yang sentiasa komited membantu negeri Perlis secara holistik.

“Meskipun penurunan harga RON95 diperlekehkan, ia tetap memberi manfaat kepada rakyat Perlis yang majoriti menggunakan kenderaan sendiri untuk urusan harian dan pekerjaan terutama dalam sektor logistik dan luar bandar. Ia mungkin kecil pada pandangan sesetengah pihak, namun ia adalah langkah realistik dalam kerangka pengurusan subsidi bersasar dan pembelaan kepada rakyat,” katanya.

Seterusnya, Ay Ling yang juga Bendahari Wanita Keadilan Pusat turut mempersoal apakah strategi negeri untuk menarik pelaburan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan dan apakah inisiatif tambahan kerajaan negeri bagi melengkapkan bantuan kerajaan Persekutuan serta pelan tindakan untuk mengoptimumkan potensi ekonomi sedia ada.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN