Arau City FC sandaran Perlis hadapi saingan Piala Emas Raja-Raja - Utusan Malaysia

Arau City FC sandaran Perlis hadapi saingan Piala Emas Raja-Raja

HAIRULANUAR Yahaya (empat dari kiri) bersama Mohd Salim Tofel Mohamad (dua dari kanan) bersalaman sambil disaksikan Azahar Hassan (tengah) selepas menandatangani MoU bagi menyertai Piala Emas Raja-Raja 2025 pada Oktober depan. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kelab Bola Sepak Arau City FC bakal menjadi sandaran buat negeri ini dalam saingan Piala Emas Raja-Raja 2025 yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.

Bagi tujuan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani melibatkan pihak pengurusan Arau City FC bersama Persatuan Bola Sepak Melayu Perlis dalam satu majlis ringkas di sini, semalam.

Presiden Arau City FC, Hairulanuar Yahaya berkata, bagi menghadapi kejohanan itu, pihak pengurusan telah melakukan persediaan dengan merangka strategi latihan dan akan memulakan sesi pemilihan pemain secara terbuka sekitar minggu pertama, Ogos ini.

“Kita akan membawa nama Perlis dalam menghadapi kejohanan berprestij ini. Persediaan awal telah dilakukan dalam memastikan Arau City FC dapat menghasilkan pencapaian terbaik dalam kejohanan tersebut.

“Terdapat beberapa nama pemain telah disenarai pendek dan kita masih dalam proses pencarian kerana mahu pastikan kelab ini mampu memberi saingan kepada pasukan lain dalam pertandingan ini,” katanya.

Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-104 pada tahun ini dijadualkan berlangsung di Alor Setar, Kedah dan Pulau Pinang pada 10-12 Oktober depan melibatkan 16 pasukan yang akan berentap bagi merebut piala itu.

Sementara itu, Presiden Bola Sepak Melayu Perlis, Mohd Salim Tofel Mohamad berkata, kali terakhir negeri ini menjadi juara bagi kejohanan Piala Emas Raja-Raja adalah pada tahun 2014 iaitu sekitar 11 tahun lepas.

Katanya, menerusi pemerhatian, antara pasukan yang dijangka memberi saingan dalam kejohanan ini adalah seperti Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Harapan kita adalah supaya Arau City FC dapat memberikan saingan dengan semua pasukan yang bertanding sekali gus meletakkan nama Perlis di hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Penaung Arau City FC, Azahar Hassan berkata, pihaknya berharap Kelab Arau City FC dapat mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan itu bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak di Perlis.

Ujar beliau, pihaknya juga akan memohon sedikit bantuan daripada kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat bagi bersama-sama menyokong Arau City FC dalam menempuh kejohonan ini.

“Ini juga sebahagian daripada usaha kita menunaikan manifesto bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN