KANGAR: Pelbagai acara larian yang dianjurkan MEP21 sejak 2015 termasuk di Perlis yang bertaraf antarabangsa berjaya membantu melonjakkan sukan pelancongan di negeri ini.
Sejak sedekad lalu, lebih 50 acara larian telah dianjurkan syarikat berkenaan di seluruh negara merangkumi marathon, larian denai, kayuhan basikal, acara sukan lasak dan pelbagai lagi.
Antara acara ikonik yang cukup popular sehingga menarik penyertaan peserta antarabangsa adalah seperti Nakawan Ultra, Cyclo Fest, Wang Gunung Trail Run dan Perlis Ultra Marathon (Putra).
Acara besar berkenaan terus kekal sehingga kini dengan sentiasa ditambah baik setiap kali penganjuran.
Pengarah Urusan MEP21, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, setiap acara yang dianjurkan itu mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri selain membantu menyumbang kepada limpahan ekonomi penduduk setempat.

Katanya, penganjuran acara itu juga secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan sukan di Perlis selain mengenengahkan lokasi-lokasi berdasarkan keindahan alam semula jadi di negeri ini khususnya seperti di Banjaran Nakawan.
Ujar beliau, sepanjang tahun ini, pelbagai acara larian telah dianjurkan dengan kemuncak pada 18 hingga 20 Disember depan iaitu larian Ultra marathon sejauh 100 kilometer di Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Bahat di sini.
“Selain itu, turut akan diadakan acara Putra dan pesta kebudayaan masyarakat di sekitar Banjaran Nakawan selain pesta kami orang kampung dengan turut melibatkan komuniti Banjaran Nakawan,” katanya ketika ditemui selepas acara Wang Gunung Trail Run edisi ke-3 bersempena Pesta Makanan Tradisional Perlis di Taman Buah-Buahan Eksotik di sini hari ini.
Selain menganjur acara sukan pelancongan, MEP21 juga menyediakan perkhidmatan sewaan peralatan serta kelengkapan untuk pelbagai acara seperti festival, bazar, seminar, persidangan dan pelbagai majlis anugerah.
Keupayaan dan kejayaan dalam menganjurkan pelbagai acara itu juga menyaksikan beliau diiktiraf dengan menerima pelbagai anugerah berkaitan pengurusan dan penganjuran acara daripada agensi kerajaan negeri dan pusat.
MEP21 juga diberi kepercayaan dilantik menjadi penasihat industri dalam diploma pengurusan acara Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.
Sementara itu, Ku Hasrin berkata, MEP21 juga aktif dalam membantu menaikan ekonomi komuniti setempat selain mempromosikan sektor pelancongan Perlis dengan rangkaian luar negeri ini.-UTUSAN