62,729 pilih Tingkatan Enam

62,729 pilih Tingkatan Enam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 62,729 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kumpulan itu merupakan kira-kira 24 peratus daripada 252,082 calon yang ditawarkan ke pengajian Tingkatan Enam.

Daripada jumlah itu, seramai 80,666 bersetuju menerima tawaran, namun hanya 62,729 melaporkan diri, bermakna masih terdapat 2,271 kekosongan.

Selebihnya melanjutkan pe­ngajian ke pelbagai peringkat lain termasuk matrikulasi, asasi dan diploma.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, pihaknya menyediakan 65,000 tempat di kese­mua pusat Tingkatan Enam.

Katanya, sebanyak 160 tempat disediakan bagi program rintis pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam yang dilaksanakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Sebanyak 100 tempat disediakan di UKM manakala 60 tempat disediakan di USM. Tempat yang disediakan ini menawarkan pengajian dalam bidang sains dan sains sosial.

“Konsep pengajian Tingkatan Enam di sekolah dan di kedua-dua universiti terlibat secara keseluruhannya hampir sama, yang membezakan adalah lokasi pembelajaran iaitu di kampus UKM dan USM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut KPM, pengajian, kurikulum dan pentaksiran juga masih sama seperti pengajian Tingkatan Enam di sekolah.

Namun, katanya, pengajian Tingkatan Enam di kampus memberi peluang kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di kedua-dua universiti terlibat, namun masih tertakluk kepada syarat kemasukan ditetapkan pihak universiti.

“Para pelajar juga akan mendapat ruang interaksi bersama-sama pensyarah universiti dalam sesi perkongsian yang akan diaturkan oleh guru-guru,” katanya.

Katanya, inisiatif penjenaan semula program pengajian Tingkatan Enam di universiti bertujuan menambah baik dan menjamin kelangsungan pendidikan Tingkatan Enam di Malaysia.

Guru-guru dari KPM akan ditempatkan se­cara khusus di universiti ber­kenaan untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut silibus Tingkatan Enam.

Kata KPM, pendekatan itu diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada pengajian di Tingkatan Enam seterusnya menjadikan Tingkatan Enam sebagai laluan yang menjadi pilihan kepada lepasan SPM untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat universiti.

KPM berkata, sijil STPM adalah setaraf diploma dan diiktiraf oleh University of Cambridge, antara universiti terulung dunia.

Jelasnya, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) selaku agensi bertanggungjawab mengurus­kan STPM bekerjasama de­ngan University of Cambridge Local Examination Certificate (UCLES) – kini dikenali sebagai Cambridge Assessment, United Kingdom dalam bentuk khid­mat nasihat dan penetapan standard STPM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×