PETALING JAYA: Seramai 27 sukarelawan MySTEM Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjayakan program Global STEM Outreach: Bridging Borders yang dianjurkan di Hat Yai, Thailand baru-baru ini.
Objektif utama program itu ialah bagi memperkenalkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah rendah melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan berasaskan pengalaman langsung.
Penganjuran program di American Prep International School (APIS) di Hat Yai itu juga diyakini dapat memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Thailand.
Dalam program itu, sukarelawan UPM bertindak sebagai fasilitator yang diketuai oleh Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil selaku presiden kelab dan dibantu oleh tiga pensyarah UPM sebagai penasihat dan fasilitator khas.

Program ini memberi peluang kepada 30 pelajar APIS untuk meneroka dunia STEM melalui aktiviti secara langsung seperti eksperimen mudah dan permainan berkonsepkan sains yang meningkatkan pemahaman terhadap topik tertentu, selain membina kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan bekerjasama dalam kumpulan.
Sepanjang program, pelajar APIS terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan hands-on seperti sesi ice-breaking “Safari Shuffle”, eksperimen STEM (Squishy Circuit, Air Magic, dan Indestructible Balloon), cabaran matematik Right or Risk dan Balloon Racer Challenge.
Penasihat program, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata, program itu sangat berkesan dalam merangsang minat pelajar terhadap STEM kerana ia menjadikan konsep sains lebih jelas, menyeronokkan dan mudah dihayati.
“Aktiviti interaktif seperti ini menjadikan konsep STEM mudah difahami dan lebih dekat dengan kehidupan seharian pelajar. Ia menghubungkan pembelajaran dengan realiti yang mereka alami, dan ini amat penting untuk memastikan ilmu yang disampaikan benar-benar memberi kesan.
“Selain itu, ia juga memberi ruang kepada fasilitator MySTEM UPM untuk mengasah kemahiran komunikasi, khususnya dalam menyampaikan ilmu sains dalam bahasa Inggeris secara jelas, berstruktur dan sesuai dengan tahap kefahaman pelajar sekolah rendah,” katanya.
Sementara itu, fasilitator, Ain Nabihah Mohd Padaliah menyifatkan pendekatan ini mampu memberi pendedahan awal yang sangat bermanfaat kepada pelajar sekolah rendah dalam mengenali konsep asas STEM.
Katanya, pada usia yang masih muda, pengalaman praktikal seperti ini berperanan penting dalam mencetuskan minat dan membina asas pemahaman yang kukuh terhadap elemen-elemen STEM yang mungkin sukar difahami melalui pembelajaran teori semata-mata.
“Kami percaya kaedah ini bukan sahaja menarik minat pelajar terhadap STEM, malah turut membina keyakinan diri mereka untuk terus meneroka bidang ini dengan lebih mendalam. Apabila pelajar diberi ruang untuk bereksperimen, menyelesaikan masalah dan bekerjasama dalam kumpulan, mereka bukan sahaja belajar tentang sains, tetapi juga mengasah kemahiran insaniah yang penting untuk masa depan,” ujarnya.
Program ini secara keseluruhannya membuktikan komitmen MySTEM UPM dalam memperkasa pendidikan STEM merentas sempadan dan bergerak aktif dalam membina jaringan pendidikan serantau dan menyemarakkan minat terhadap STEM di peringkat antarabangsa.-UTUSAN