JAKARTA: Sebahagian besar daripada 11 mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di perairan barat pulau Sumatera, Indonesia, berjaya diselamatkan hari ini.
Sebelum ini, pihak berkuasa melaporkan 11 individu masih hilang selepas bot yang membawa 18 orang karam pada Isnin, namun pegawai penyelamat berkata 10 lagi mangsa ditemui.
Agensi mencari dan menyelamat Mentawai, bot tersebut dipercayai karam sekitar pukul 11 pagi semalam, ketika belayar di sekitar kepulauan Mentawai, sebuah gugusan pulau di barat Sumatera.
Pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian seorang lagi mangsa dan menyiasat laporan belum disahkan bahawa dia mungkin ditemukan.
“Sebanyak 17 orang disahkan selamat. Kami masih mengesahkan keberadaan seorang lagi mangsa.
“Pasukan kini dalam perjalanan ke lokasi,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Mentawai, Rudi, kepada AFP pada Selasa.
Beliau berkata, ada mangsa yang diselamatkan memakai jaket keselamatan, manakala sebahagian lagi berpaut pada serpihan bot yang terbalik.
Menurut keterangan salah seorang pengendali bot, ombak besar melanda bot sebelum ia karam.
“Menurut operator, bot itu dihentam dari sisi sebelum terbalik,” katanya.
Kemalangan marin kerap berlaku di negara kepulauan Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, sebahagiannya akibat piawaian keselamatan yang longgar atau cuaca buruk.- AFP










