KANGAR: Lebih 30,000 rakyat Thailand yang menetap di Malaysia pulang ke kampung halaman bersempena sambutan Aidiladha Sabtu lalu yang disambut penuh meriah di negara gajah putih itu.
Mereka pulang ke kampung halaman khususnya di selatan Thailand terutama di wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala sejak Khamis lalu.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, suasana Aidiladha khususnya di selatan Thailand cukup meriah terutama pada hari raya pertama dengan kebanyakkan menunaikan ibadah korban.
Katanya, selain itu, suasana di lokasi pelancongan seperti Hatyai dan Satun juga cukup meriah sempena Aidiladha.
“Selain warga Thailand pulang ke kampung, pelancong khususnya dari Malaysia juga mengambil kesempatan cuti panjang sempena musim cuti sekolah dan Aidiladha untuk melancong ke selatan Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Khamis dan Jumaat lalu menyaksikan pintu sempadan di negeri ini, Kedah dan Kelantan penuh sesak dengan warga Thailand yang pulang ke kampung halaman sempena Aidiladha.
Malah, tinjauan di sempadan negeri ini mendapati, seawal pukul 5 pagi orang ramai sudah menunggu di pintu masuk.
Menurut rekod Jabatan Imigresen Malaysia Perlis, lebih 13,000 pengembara melintasi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Selalu lalu membabitkan 7,063 warga Thailand, hampir 5,000 rakyat Malaysia dan selebihnya dari negara lain.
Sementara itu, Aida memberitahu, lebih 50,000 pelancong khususnya dari Malaysia mengunjungi selatan Thailand sepanjang minggu lalu bersempena cuti persekolahan.
Katanya, lebih 80 peratus tempahan hotel di kawasan pelancongan khususnya di Hatyai penuh.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini khususnya pada musim cuti sekolah, rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di Thailand terutama Hatyai selain kawasan sekitar pantai.
“Hasil pemerhatian, lokasi-lokasi tumpuan seperti pasar terapung dan bandar Hatyai antaranya penuh sesak dengan pengunjung Malaysia sepanjang minggu lalu. Selain Hatyai yang sentiasa menjadi tumpuan, kawasan-kawasan pelancongan lain seperti Satun, Krabi, Pattani juga diserbu pelancong sempena cuti sekolah ini,” katanya. – UTUSAN