ARAU: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan meningkatkan keupayaannya sejajar dengan perubahan persekitaran semasa khususnya dalam aspek perkembangan teknologi dan siber.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, TDM juga akan terus memberikan fokus dalam aspek kesiapsiagaan dan pengukuhan organisasinya.
Titah baginda, agenda meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga TDM akan menjadi keutamaan dengan menjaga kelestarian hidup dan kebajikan warga untuk membolehkan mereka memberikan sepenuh tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Pada masa sama, TDM juga akan terus mengukuhkan komitmen membantu kerajaan dan rakyat melalui pendekatan Civil Military Cooperation (CIMIC) dengan memperlengkapkan pasukan dalam aspek keanggotaan dan aset bersesuaian.
“Ini adalah untuk menghadapi bencana, membuat perancangan awal atur gerak serta mengukuhkan hubungan dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri dan agensi-agensi lain,” titah baginda selepas berkenan berangkat merasmikan Perbarisan Pelancaran Latihan Sukarela Rejimen 504 AW Tahun 2025 di perkarangan Kompleks Tok Arau, di sini.
Keberangkatan tiba baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah disambut oleh Timbalan Komander rejimen tersebut, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Dalam pada itu, perbarisan tersebut turut melibatkan seramai tiga pegawai dan 44 anggota lain-lain pangkat Sukarela Askar Wataniah dari Rejimen 504 Askar Wataniah (AW).
Penyertaan pihak terlibat juga mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan kesungguhan mengharungi latihan sebagai anggota terlatih sebagai benteng kedua pertahanan tanah air.
Pada acara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyaksikan simulasi operasi sekatan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand merangkumi beberapa elemen.
Baginda juga berkenan memakaikan pangkat kepada tiga orang anggota tetap di samping melawat rerurai pameran senjata yang dikendalikan bersama anggota dari Batalion Keenam Askar Melayu Diraja (6 RAMD).-UTUSAN