PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi melepaskan dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan salah dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
“Tiada sebarang bukti menunjukkan Syed Saddiq mengarahkan agar wang yang dikeluarkan disembunyikan. Tiada yang jahat apabila Syed Saddiq sebagai Ketua Armada menggunakan wang tersebut untuk program-program Armada.
“Duit yang dibelanjakan (Syed Saddiq) adalah untuk aktiviti dan kepentingan Armada sahaja. Memberi arahan untuk melakukan pengeluaran tidak termasuk dalam maksud bersubahat.
“Selepas penilaian maksimum, kami dapati pembelaan perayu (Syed Saddiq) bukanlah penafian kosong. Kami sebulat suara mendapati sabitan tidak dapat dipertahankan. Perayu dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman,”kata Hakim Noorin ketika membacakan penghakiman ringkas panel itu yang mengambil masa satu jam 11 minit. – UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL