SPRM sita Menara Ilham milik Tun Daim kali kedua

SPRM sita Menara Ilham milik Tun Daim kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menara Ilham milik keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin di Jalan Binjai di sini, disita sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kali pertama menara itu disita ialah pada 22 Disember 2023, ia sebahagian daripada siasatan antipengubahan wang haram yang bermula pada Mei 2023 berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bili­on pada November 1997.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya men­da­pat kebenaran daripada Tim­balan Pendakwa Raya (TPR) untuk menyita bangunan yang terletak di No. 8 Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Katanya, sitaan dibuat berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pen­cegahan Pembiayaan Ke­ga­nasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bertarikh 4 Jun 2025.

Menerusi notis terbabit, ke­benaran sitaan dibuat berda­sarkan kuasa yang diberikan kepada pendakwa raya mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Ta­tacara Jenayah (Akta 593).

“TPR berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh pe­gawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan di ba­wah Subseksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

“Sehubungan itu, adalah diperintahkan bangunan Menara Ilham disita oleh pegawai penyiasat SPRM dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang,” katanya.

Menurut SPRM, kegagalan untuk mematuhi notis merupakan suatu kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan aset luar negara milik isteri Daim dan keluarga bernilai 132 juta pound (RM758.2 juta) dibekukan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan SPRM semasa prosiding secara sebelah pihak atau ex-parte.

Dalam prosiding berkenaan, TPR, Mahadi Abdul Jumaat memohon aset Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya dibekukan mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

Tujuh aset yang dibekukan kesemuanya di London antaranya dua bangunan komersial, lima kediaman mewah dan satu akaun bank berdaftar atas nama Yayasan Ilham.

Satu daripada bangunan komersial itu terletak di St. Mary Axe, London yang dibeli pada Julai 2013 pada harga 23.7 juta pound (RM136.2 juta), sementara satu lagi di One Crown Court, Cheapside London yang dibeli pada harga 31.5 juta pound (RM181 juta) pada Oktober 2014.

Hartanah lain adalah tiga kediaman mewah yang mana dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 37.8 juta pound (RM217.3 juta) dan sebuah lagi beralamat di Lancaster Gate, London dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 31.2 juta pound (RM179.4 juta)

Turut dibekukan, dua kediaman di Gloucester Place yang dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 8.1 juta pound (RM46.5 juta).

Perintah mahkamah itu kini akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom (UK) untuk pelaksanaan pembekuan aset berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×