PETALING JAYA: Siapa bakal menerajui tampuk tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diketahui dalam masa terdekat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mempersembahkan nama calon Ketua Polis Negara (KPN) itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.
Pertemuan itu juga bagi memuktamadkan calon menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 22 Jun ini selepas dua tahun menerajui pasukan keselamatan negara itu.
Utusan Malaysia difahamkan, tiga pegawai kanan PDRM yang disebut-sebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail.
Setakat ini, tiada keputusan rasmi diumumkan, namun pengumuman dijangka dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan PDRM berjalan lancar.
Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara Ke-14 pada 23 Jun 2023 secara kontrak selepas bersara wajib.
Beliau mengesahkan menamatkan perkhidmatan selepas mendapat nasihat daripada ibunya, Rahmah Abdul Rahman, 86, agar tidak menyambung perkhidmatan demi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Anak kelahiran Dengkil, Selangor itu memulakan karier dalam pasukan pada 1984 dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sebelum menjadi Timbalan Ketua Polis Negara seterusnya KPN.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Zainah Othman dan dikurniakan lima cahaya mata. – UTUSAN










