CHANGDE: Letupan di sebuah kilang bunga api di tengah China mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan 26 yang lain, menurut media kerajaan hari ini.
Letupan berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di sebuah kilang di perkampungan berhampiran bandar Changde, wilayah Hunan, lapor Radio Kebangsaan China (CNR).
Sehingga pukul 9 pagi Selasa, sembilan disahkan maut dan 26 lagi cedera, menurut pusat arahan penyelamat seperti dilaporkan CNR.
Usaha menyelamat masih dijalankan, namun keadaan di lokasi digambarkan sebagai ‘rumit’ dengan risiko letupan susulan boleh menganggu operasi.
Laporan itu turut menyatakan lokasi kejadian berada di kawasan pergunungan yang tidak mempunyai sumber air besar, sekali gus menyukarkan lagi operasi.
“Selama lebih 20 jam operasi menyelamat tanpa henti, pasukan penyelamat menggunakan meriam air kawalan jauh untuk memadamkan kebakaran,” menurut laporan itu.
Agensi berita rasmi Xinhua turut melaporkan bahawa Kementerian Pengurusan Kecemasan China menghantar pasukan kerja ke Hunan bagi memantau operasi menyelamat.
“Usaha mesti digiatkan untuk mengenal pasti punca letupan secepat mungkin dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” kata kementerian.
Kemalangan industri adalah perkara biasa di China berikutan peraturan dan piawaian keselamatan yang longgar.
Bulan lalu, letupan di sebuah loji kimia di wilayah timur Shandong meragut sekurang-kurangnya lima nyawa.
Pada 2015, letupan di gudang yang menyimpan bahan kimia mudah terbakar di bandar pelabuan Tianjin mengorbankan lebih 170 orang dan mencederakan 700 yang lain.- AFP









