PUTRAJAYA: Program Sekolah Angkat Madani hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah mencecah 1,000 buah di seluruh negara.
Bermula dengan sasaran 300 sekolah pada awalnya, kini sekolah angkat itu telah mencecah 1,000 buah hasil sokongan 117 buah peneraju industri dan korporat.
Berucap pada majlis peluncuran Sekolah Angkat Madanidi sini, hari ini, Anwar berkata, beliau bersyukur di atas sokongan luar biasa oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat terlibat.
“Saya berharap sokongan syarikat korporat ini bukan hanya sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR) sahaja sebaliknya melangkaui belas ihsan.
“Apa yang kita harap dari saudara (syarikat korporat) tentulah sedikit sumber kewangan untuk lengkapkan kemudahan-kemudahan di sekolah angkat ini terutama di pinggir bandar,” katanya.
Katanya, bagi menggapai wawasan Ekonomi Madani, sistem pendidikan nasional perlu disegarkan dengan reformasi secara menyeluruh serta mampu memberi anak-anak kita dan tenaga pengajar fasiliti bertaraf dunia.
Anwar berkata, lebih daripada sumbangan kewangan, rakan peserta Sekolah Angkat Madani juga akan melaburkan kemahiran masing-masing untuk meningkatkan mutu sekolah angkat mereka agar kesenjangan pendidikan dapat dirapatkan.
Jelasnya lagi, mobiliti sosial yang hakiki hanya boleh dijayakan apabila anak-anak sama ada di bandar atau desa dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam menimba ilmu.
“Organisasi yang mengambil sekolah angkat ini telah memberi komitmen yang memfokuskan kepada lima bidang utama iaitu meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sekolah; memperkasa program akademik dan bimbingan pelajar; memperkukuh latihan serta pembangunan guru; menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa; dan membangunkan sahsiah serta kemahiran pelajar,” katanya.
Ketika ini, sokongan yang diterima termasuk daripada 32 syarikat swasta, 29 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), 29 agensi kerajaan serta 27 syarikat milik Menteri Kewangan.
Setiap organisasi memilih sekolah angkat berdasarkan kemampuan mereka dan keperluan khusus sekolah tersebut.
Program yang bermula pada April lalu itu diselaraskan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Fasa pertama dijangka selesai pada 31 Disember 2025, dengan peluasan program dalam perancangan tertakluk kepada hasil fasa pertama.
Sekolah Angkat Madani dicetuskan Perdana Menteri agar sektor korporat Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan yang masih menyaksikan jurang ketara antara sekolah bandar dan luar bandar. – UTUSAN











