Ribuan rakyat Israel berhimpun tuntut gencatan senjata di Gaza

Ribuan rakyat Israel berhimpun tuntut gencatan senjata di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ribuan rakyat Israel berhimpun di Dataran Tebusan di Tel Aviv pada malam Sabtu, bagi menuntut pembebasan tebusan yang masih ditahan di Gaza serta pelaksanaan gencatan senjata selepas 20 bulan perang di wilayah itu.

Penunjuk perasaan dilaporkan melaung slogan ‘Rakyat memilih tebusan!’ serta menuntut perjanjian menyeluruh bagi membolehkan kesemua tawanan dibebaskan, menurut kenyataan daripada Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang.

Sebelum ini, Hamas mengeluarkan gambar salah seorang tebusan yang masih hidup, Matan Zangauker yang kelihatan sangat lemah sambil memberi amaran beliau tidak akan bertahan lama.

“Saya tidak mampu lagi menanggung mimpi ngeri ini. Malaikat maut, Netanyahu, terus mengorbankan tebusan-tebusan ini,” kata ibunya, Einav Zangauker dalam protes tersebut, merujuk kepada Perdana Menteri Israel, menurut rakaman AFPTV.

Noam Katz, anak kepada tebusan Lior Rudaeff yang diisytiharkan meninggal dunia, tetapi jasadnya masih berada di Gaza turut menyeru agar pertempuran dihentikan segera.

“Jangan hantar lebih ramai tentera untuk mempertaruhkan nyawa mereka demi membawa pulang ayah kami. Bawa mereka pulang melalui perjanjian. Hentikan perang ini!” katanya di hadapan orang ramai, menurut kenyataan Forum Keluarga.

Pada Jumaat, tentera Israel mengumumkan empat anggotanya terbunuh dalam operasi di Gaza dan menyatakan kekurangan seramai 10,000 anggota untuk memenuhi keperluan ketenteraan di wilayah Palestin itu.

Usaha rundingan bagi menamatkan konflik yang dikendalikan oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pengantara masih belum membuahkan hasil.

Tal Kupershtein, bapa kepada Bar Kupershtein yang diculik pada usia 21 tahun turut menyeru agar kerajaan bertindak segera.

“Saya mahu anak saya pulang sekarang! Saya merayu kepada perdana menteri supaya terima perjanjian bagi mengembalikan semua tebusan,” katanya.

Daripada 251 orang yang diculik pada 7 Oktober 2023, seramai 55 masih ditahan di Gaza dengan sekurang-kurangnya 31 disahkan telah meninggal dunia, menurut pihak berkuasa Israel. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN