RHB Islamic Bank sumbang RM313,000 biayai dua Projek Ternakan Keli - Utusan Malaysia

RHB Islamic Bank sumbang RM313,000 biayai dua Projek Ternakan Keli

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lima dari kiri) berkenan melepaskan benih anak ikan sebagai simbolik pelancaran Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Perlis 2025 di Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: RHB Islamic Bank menyalurkan sumbangan berjumlah RM313,000 di bawah Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Perlis 2025 bagi membiayai dua Projek Akuakultur Ternakan Ikan Keli di Jalan Kaki Bukit Paya, di sini, dan Taman Desa Asnaf Chuping, Padang Besar.

Pelaksanaan projek itu akan dibuat secara usahasama dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Inisiatif tersebut dilancarkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat bersempena Program MAIPs Peduli bersama RHB Islamic Bank dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sekitar Jalan Kaki Bukit, di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rural Capital Berhad (RCB), Hiruddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Adissadikin berkata, bermula dari 2021 hingga tahun ini, sebanyak RM532,449 zakat wakalah telah disalurkan RHB Islamic Bank kepada enam inisiatif pemerkasaan ekonomi dan komuniti hasil kerjasama dengan MAIPs.

Katanya, antara projek pernah dilaksanakan termasuklah Harvest Bakery, Bengkel Jahitan dan Bengkel Pembaikan Telefon Bimbit yang secara keseluruhannya memberikan manfaat kepada hampir 200 individu.

“Projek-projek ini bukan sahaja memberi latihan kemahiran dan praktikal tetapi menyediakan fasiliti lengkap bagi memastikan kelangsungan dan penjanaan pendapatan secara mampan,” katanya.

Berikutan itu, Adissadikin juga berharap kerjasama erat antara RHB Islamic dan MAIPs akan terus diperkukuh pada masa hadapan dalam usaha memperkasakan ekonomi kumpulan sasar.

Tambanya, pemberian zakat itu mencerminkan komitmen RHB Islamic dalam memperkukuh kerjasama dengan MAIPs sebahai usaha bagi memperkasakan ekonomi golongan asnaf dan komuniti B40.

“Penyerahan zakat ini juga menandakan sokongan berterusan kami terhadap pelaksanaan program-program yang memberi impak besar kepada kesejahteraan ummah”.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN