BAITULMUQADDIS: Tentera Israel melalui Komando Barisan Hadapan mengumumkan pada Sabtu bahawa orang awam kini dibenarkan keluar dari tempat perlindungan di seluruh negara.
Bagaimanapun, mereka masih diminta untuk kekal berada berhampiran dengan tempat perlindungan tersebut selepas tentera memintas gelombang terbaharu serangan peluru berpandu dari Iran ke atas Israel.
“Orang ramai kini dibenarkan meninggalkan ruang perlindungan di semua kawasan dalam negara dan diminta kekal berhampiran dengannya,” menurut kenyataan Komando Barisan Hadapan.
Dalam kenyataan berasingan, tentera memaklumkan puluhan peluru berpandu dilancarkan dalam serangan terbaharu dari Iran.
“Sebahagian daripada peluru berpandu itu berjaya dipintas. Pasukan mencari dan menyelamat sedang beroperasi di beberapa lokasi seluruh negara susulan laporan mengenai serpihan yang jatuh,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, bunyi letupan kedengaran di seluruh Baitulmuqaddis, dan stesen TV Israel menyiarkan kepulan asap kelihatan di Tel Aviv dipercayai selepas serangan peluru berpandu itu.
Tentera Israel berkata, puluhan peluru berpandu dilancarkan dan pihaknya mengarahkan penduduk di seluruh negara supaya berlindung di tempat perlindungan bawah tanah.- AFP










