KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi Sambutan Jubli Perak bersempena 25 tahun pemerintahan Raja Perlis di Dewan 2020 di sini, semalam.
Berangkat pada majlis penuh ceria bertemakan ‘Gold And Glitter’ itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda turut berkenan mengurniakan sijil penghargaan khas kepada 10 penerima.
Manakala Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Jubli Perak.
Mohd. Shukri dalam ucapannya berkata, majlis tersebut dianjurkan oleh kerajaan negeri bagi menghargai penglibatan semua pihak dalam penganjuran Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Jubli Perak pemerintan Raja Perlis.
Majlis berkenaan bermula dengan bacaan ungkap kata ‘puji raja’ oleh Mohd Nazim Mohd Noor dan Hakim Khan disusuli dengan tarian pembukaan tingkah mandini samrah oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri.
Ia diikuti persembahan pembukaan lagu daulat tuanku oleh artis terkenal tanah air berasal dari Perlis iaitu Khai Bahar.
Khai Bahar turut menyanyikan lagu Selamat Menyambut Hari Keputeraan.-UTUSAN