Pinjaman tanpa faedah SADC bantu Mahfud kembang pertanian

Pinjaman tanpa faedah SADC bantu Mahfud kembang pertanian

MUHAMMAD Mahfud Yusof mengusahakan tanaman sayur di Kampung Haji Dahlan, Tapah dengan bantuan skim Pinjaman Tanpa Faedah Perak SADC. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Bergelar usahawan tani sejak 15 tahun lalu dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti kacang panjang, peria katak, terung dan bendi membolehkan Muhammad Mahfud Yusof, 58, memperoleh pendapatan mencecah empat angka setiap bulan.

Dia komited mengusahakan tanaman tersebut di tanah seluas 0.81 hektar yang turut dibantu seorang pekerja di tanah yang diusahakannya di Kampung Haji Dahlan di sini,

Sebelum ini dia bekerja sebagai seorang kerani di sebuah kilang elektronik di Kampar.

Bapanya merupakan seorang penoreh getah dan mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara kecil-kecilan mendorong minat yang mendalam terhadap bidang sekuriti makanan.

“Sekarang saya telah menceburi bidang ini selama 15 tahun. Saya bersyukur hasilnya dapat membesarkan lapan orang anak sehingga mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing,” katanya.

Muhammad Mahfud mengakui tidak begitu mahir dalam bidang pertanian terutama melibatkan kos-kos pembukaan tanah pertanian dan aspek bidang pemasaran.

Namun Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) banyak memberi bantuan kepadanya terutama menerusi Program Skim Usahawan Negeri Perak iaitu Pinjaman Tanpa Faedah Perak SADC.

Bantuan itu selaras dengan Flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.

Di bawah pelan Perak Sejahtera 2030, Daerah Batang Padang disenarai sebagai Pusat Pengedaran Pertanian ASEAN iaitu Agromakanan Perak – Lembah Makanan Negara.

Dia mendapatkan pembiayaan sebanyak RM20,000 selama lima tahun dengan bayaran ansuran sebanyak RM333 sebulan.

“Perak SADC banyak membantu kerana pinjaman itu dapat digunakan untuk pusingan modal bagi penanaman semula termasuk membeli baja, racun, sistem siraman, kos pengangkutan, gaji pekerja selain kos sampingan lain.

“Pinjaman tanpa faedah sememangnya amat kritikal kerana bidang pertanian merupakan satu bidang yang mencabar kerana bergantung pada cuaca, ancaman serangga dan haiwan perosak selain harga sayuran-sayuran yang tidak fleksibel,” katanya.

Menurutnya, Perak SADC membimbingnya sejak awal bukan sahaja berkaitan pinjaman tanpa faedah tetapi pegawainya sentiasa melawatnya untuk mengetahui input-input semasa selain bertanya masalah-masalah yang dihadapi.

“Malah, usahawan-usahawan bimbingan mereka dimasukkan menjadi ahli dalam grup WhatsApp khusus yang warga kerjanya aktif membalas pertanyaan dan bersifat setempat untuk informasi terkini mengenai dunia pertanian dan kursus-kursus yang disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN