PGA serbu premis, rampas vape RM182,000 - Utusan Malaysia

PGA serbu premis, rampas vape RM182,000

SEBAHAGIAN rokok elektronik yang dirampas dalam serbuan di Tumpat, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis rokok elektronik atau vape bernilai RM182,000 selepas menyerbu sebuah premis perniagaan tanpa lesen di depan sebuah sekolah di Kampung Kelaboran di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 1.45 tengah hari itu, anggota PGA dan beberapa orang pegawai Majlis Daerah Tumpat (MDT) berjaya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.

Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa pemeriksaan dijalankan lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen dan lesen yang sah daripada pihak MDT berkaitan perniagaan rokok elektronik.

“Pemeriksaan di dalam premis itu membawa kepada rampasan sebanyak 1,380 unit cecair termasuk peranti vape, cecair vape (27 tin), cecair vape (63 peket) dan peranti vape (529 unit).

“Rampasan keseluruhan barangan tersebut dianggarkan bernilai RM182,000,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu kesemua hasil rampasan diserahkan kepada MDT untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah meluluskan sebarang lesen perniagaan kepada premis penjualan rokok elektronik atau vape.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tindakan rondaan dan penguatkuasaan oleh PBT sentiasa dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan dan pengiklanan vape di Kelantan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN