PARLIMEN: Malaysia dijangka keluarkan bahan api penerbangan mampan

PARLIMEN: Malaysia dijangka keluarkan bahan api penerbangan mampan

CHANG FOONG HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka melaksanakan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) dalam negara sebelum akhir 2025 menerusi operasi komersial Ecoceres Renewable Fuels Sdn. Bhd. di Tanjung Langsat, Johor.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah, sedang dan akan melaksanakan beberapa langkah utama bagi membangunkan industri SAF negara.

“Kerajaan memudah cara urusan pelesenan di bawah Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007 bagi pembangunan loji pengeluaran SAF, selain menyokong penyediaan infrastruktur berkaitan seperti kemudahan penyimpanan, pengadunan, pengangkutan dan pengagihan.

“KPK juga sedang membangunkan dokumen strategi pengeluaran SAF yang meliputi penilaian ketersediaan bahan mentah, selain mempergiat kempen kesedaran pengumpulan minyak masak terpakai melalui kerjasama dengan industri dan komuniti,” katanya keika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Che Alias Hamid mengenai langkah yang diambil KPK dalam memastikan Malaysia menjadi pengeluar SAF menjelang tahun 2027.

Foong Hin berkata, kerajaan turut merangka cadangan pengenalan mandat adunan SAF sebanyak satu peratus bagi penerbangan antarabangsa yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Januari 2027.

“Perincian pelaksanaannya sedang dimuktamadkan bersama industri dan pihak berkepentingan. Dasar Biobahan Api Negara juga sedang disemak dan dipinda bagi memasukkan SAF serta biobahan api generasi kedua lain sebagai komponen strategik selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran global

“KPK yakin pelaksanaan langkah-langkah ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport utama SAF di rantau ini sekali gus membuka peluang baharu kepada industri agrikomoditi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×