KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan mengurangkan 10 peratus pekerja dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.
Jumlah itu jauh lebih kecil berbanding syarikat-syarikat antarabangsa yang telah melakukan pemberhentian pekerja secara besar-besaran ekoran ketidaktentuan industri minyak dan gas di peringkat global.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, keseluruhan industri minyak dan gas pada masa kini adalah tidak berapa baik.
“Kami menjangkakan kira-kira lebih 5,000 pekerja akan terbabit dalam penstrukturan itu atau kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan kakitangan,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, Petronas tidak boleh lagi beroperasi dalam suasana yang sama kerana keadaan sudah berubah dengan drastik.
Katanya, Petronas dalam bidang tertentu mempunyai terlalu ramai kakitangan dan tidak lagi kompetitif jika dibandingkan syarikat minyak antarabangsa lain.
“Kita sedang melihat jangka masa 10 tahun yang akan menentukan masa depan Petronas,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini terdapat lebihan tenaga kerja dalam beberapa peringkat dan ia tidak setanding dengan apa yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa.
“Rasional untuk penstrukturan ini adalah untuk mengubah semula cara Petronas beroperasi supaya mampu bertahan dan seperti syarikat antarabangsa,” katanya.
Beliau menegaskan, kakitangan peringkat tinggi akan diberhentikan termasuk pekerja kontrak manakala pekerja baharu tidak terbabit.
Petronas antara banyak syarikat minyak dunia telah mengumumkan pengurangan pekerja terutama disebabkan kejatuhan harga minyak dan persaingan sengit di peringkat global.
Sementara itu mengenai pertelingkahan hak terhadap minyak dan gas Sarawak, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas akan melaksanakan semua perkara yang diumumkan dalam deklarasi antara Putrajaya dan Sarawak mengenai sumber minyak dan gas di negeri itu.
Beliau berkata, deklarasi itu membuka ruang penyelesaian kepada isu perkongsian sumber tenaga.
“Kita akan mengikut dan mematuhi deklarasi bersama itu. Petronas menyambut baik kerana kini wujud kerangka lengkap untuk kedua-dua pihak berurusan,” katanya.
Beliau berkata, Petronas akan terus berunding untuk menyelesaikan semua isu dan mencapai persefahaman terutama dalam keputusan menang-menang.
Putrajaya dan Kuching baru-baru ini telah mencapai deklarasi bersama bagi kelangsungan industri minyak dan gas di negeri itu.
Kedua-dua pihak memeterai satu persefahaman yang baik ke arah memajukan Malaysia dan Sarawak.
Persefahaman itu disepakati Putrajaya yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tengku Muhammad Taufik berkata, penyelesaian kepada isu itu adalah penting kerana membabitkan pelaburan asing di Malaysia dan Sarawak secara khusus.
“Pihak luar akan menilai perjanjian antara Petronas dan Petros untuk memutuskan pelaburan mereka di negara ini.
“Kita telah membina reputasi selama rakan industri minyak dan gas lebih empat dekad dengan rakan luar dan perjanjian itu penting.
“Kita telah menjadi lima syarikat utama dunia dalam gas dan itu penting untuk dipertahankan,” katanya sambil menambah penyelesaian dengan Kuching penting kepada negara dan pelabur luar.
“Saluran berunding terbuka setiap hari. Cabarannya untuk melaksanakan prinsip deklarasi itu kepada protokol dan mampu beroperasi,” katanya lagi. – UTUSAN









