ARAU: Perubahan zaman dan arus pemodenan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kepentingan adat istiadat yang telah menjadi tunjang kepada keharmonian negeri serta rakyat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, adat istiadat bukan sekadar warisan turun-temurun namun merupakan jati diri yang mencerminkan kebijaksanaan generasi terdahulu membentuk sebuah masyarakat beradab, berbudaya dan berdaulat.
Titah baginda, dalam usaha mempertahankan adat istiadat, setiap pihak perlu memastikannya kekal relevan dengan nilai-nilai Islam dan budaya masyarakat moden tanpa mengorbankan keasliannya.
“Oleh itu, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai badan yang diamanahkan untuk menjaga dan memelihara adat istiadat Melayu Perlis akan sentiasa memastikan kesinambungan warisan ini lebih tersusun, berkesan dan sesuai dengan tuntutan zaman,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran MAIPs di Masjid Al-Islah Ngulang, di sini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dengan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada majlis itu, baginda berdua turut berkenan menyempurnakan penyampaian agihan zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 penerima terdiri daripada anak kariah sekitar Ngulang, Perawah, Chuping dan Panggas.
Program ini juga merupakan cerminan keprihatinan MAIPs diterajui Tuanku Syed Faizuddin dalam menyantuni rakyat dan memperkukuh nilai-nilai murni serta kesejahteraan ummah.-UTUSAN