PHUKET: Seorang pemilik restoran terapung terkenal di Rawai, Phuket, berang kerana terpaksa membersihkan najis pelancong yang menggunakan kawasan restorannya sebagai ‘tandas terbuka’.
Pemilik restoran, Pannatat Asawapitakchon menggesa pihak berkuasa tempatan supaya menyediakan lebih banyak tandas awam untuk pelancong selepas insiden menjijikkan, melibatkan seorang pelancong asing yang membuang air besar di luar restorannya.
Pannatat berkongsi pengalaman tidak menyenangkan itu di media sosial, yang kini telah menjadi tular dan menerima sokongan meluas.
Beliau menceritakan bagaimana melihat seorang pelancong wanita membuang air besar di sebelah restorannya yang ditutup pada malam 22 Mei lalu.
“Pada mulanya, dia tidak mahu bertanggungjawab. Tetapi selepas berbincang seketika, dia akhirnya membersihkan kawasan itu namun, pembersihannya tidak memadai, jadi saya terpaksa membersihkannya semula,” kata Pannatat kepada Khaosod English.
Kemarahan Pannatat bukan sekadar pada insiden itu tetapi juga kerana kekurangan infrastruktur asas di kawasan Rawai Beach yang popular.
Beliau menyeru pihak berwajib supaya mengambil tindakan bagi menangani ‘masalah kecil’ sebelum menjadi lebih memalukan.
“Saya ingin bertanya kepada pihak berkuasa berkaitan tentang penyediaan tandas awam. Saya berharap mereka dapat membina tandas di kawasan Rawai Beach,” katanya.
Dalam hantaran yang kini tular, beliau turut memaklumkan bahawa tandas di restorannya boleh digunakan oleh sesiapa sahaja semasa waktu operasi walaupun bukan pelanggan.
Tetapi apabila restoran ditutup, pilihan menjadi terhad hingga memaksa sesetengah pelancong menggunakan cara yang tidak sepatutnya.
“Apa yang berlaku di restoran saya menunjukkan bahawa kita tidak bersedia sepenuhnya untuk menampung kedatangan pelancong. Saya tak tahu jika pengusaha lain pernah mengalami perkara yang sama,” tulisnya.
Laporan Malay Mail menyatakan bahawa hantaran tersebut mendapat sambutan ramai termasuk penduduk tempatan dan pengusaha perniagaan lain yang turut menekankan keperluan untuk kemudahan awam di kawasan tumpuan pelancong.
“Saya minta pihak yang terlibat untuk bantu selesaikan masalah kecil ini. Ia bukan mendesak, tetapi saya bangkitkan isu ini demi penambahbaikan pada masa depan. Buat masa ini, saya sendiri mungkin terpaksa terus membersihkan air kencing dan najis pelancong,” jelasnya dengan nada kecewa. – AGENSI










