Pelajar tajaan Mara perlu kembali beri sumbangan

Pelajar tajaan Mara perlu kembali beri sumbangan

AHMAD Zahid Hamidi bergambar bersama para pelajar pada Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Tajaan Mara di United Kingdom di London, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kira-kira 1,500 pelajar tajaan Majlis Amanah Rak­yat (Mara) di United Kingdom (UK) diminta pulang untuk menyumbang bakti kepada negara selepas tamat pengajian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, majoriti pelajar tajaan Mara di UK kini mengikuti kursus dalam bidang berimpak serta berkemahiran tinggi.

Sehubungan itu, penglibatan mereka dalam bidang-bidang strategik tersebut memberikan nilai tambah besar kepada pembangunan negara sekembali ke tanah air.

“Peluang pekerjaan di dalam bidang ini terlalu besar dan terlalu luas, apa yang mereka perlukan adalah pendedahan apabila pulang ke negara nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Tajaan Mara di United Kingdom di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam lawatan kerja rasmi selama empat hari ke UK berakhir 4 Jun.

Beliau menambah, walaupun pendapatan di luar negara secara purata lebih tinggi, para pelajar perlu menanamkan semangat kekitaan untuk memberikan sumbangan kepada negara.

“Semangat kekitaan ini perlu supaya mereka dapat menyumbang kepada negara dan insya-Allah pelajar-pelajar tajaan Mara ini akan ditanamkan semangat kekitaan secara berterusan,” katanya.

Sebelum itu, dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan ucapan awam di University College London (UCL) di sini, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, pelajar-pelajar Malaysia di luar negara mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara terutama membabitkan bidang kemahiran.

“Malaysia sedang meletakkan semula bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan professional dan berasaskan inovasi. Graduan luar negara boleh menyumbang sebagai jurulatih sambilan, penasihat kurikulum dan perunding teknologi.

“Kami ingin memastikan kepakaran anda (pelajar Malaysia di luar negara) memberikan impak sistematik kepada ekosistem kemahiran negara,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN