TEL AVIV: Sebelum Israel melancarkan gelombang serangan luar biasa ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran minggu ini, agensi perisikan negara itu sudah pun menjalankan operasi sulit di wilayah musuh.
Menurut pegawai keselamatan Israel, agensi perisikan Mossad menyeludup masuk senjata ke dalam Iran sebelum serangan dilancarkan, dengan tujuan untuk menyerang sistem pertahanan negara itu dari dalam.
Pegawai tersebut mendakwa, Israel menubuhkan pangkalan pelancaran dron berani mati di dalam Iran dan ia kemudian digunakan bagi menyasarkan pelancar peluru berpandu berhampiran Teheran, lapor CNN.
Senjata berketepatan tinggi turut diseludup masuk dan digunakan untuk memusnahkan sistem peluru berpandu darat ke udara, sekali gus membuka laluan kepada tentera Israel melaksanakan lebih 100 serangan menggunakan 200 pesawat pada awal pagi Jumaat.
Rancangan untuk melumpuhkan pertahanan Iran didakwa berjaya, apabila Israel mengesahkan semua pesawatnya pulang dengan selamat dalam gelombang pertama serangan.
Maklumat risikan yang diperoleh oleh Mossad di dalam Iran turut memberikan kelebihan kepada Tentera Udara Israel untuk menyasarkan komander kanan dan saintis utama negara tersebut.
Operasi terbaharu itu sekali lagi menunjukkan sejauh mana perkhidmatan risikan Israel, termasuk Mossad, boleh menyusup ke dalam rahsia paling ketat yang dilindungi oleh Iran.
“Mossad memperlakukan Iran seperti ‘taman permainannya’ selama bertahun-tahun.
“Daripada membunuh saintis nuklear hingga merosakkan kemudahan nuklear, Israel telah berkali-kali membuktikan keupayaannya dalam peperangan bayangan yang kini semakin terbuka sejak siri serangan balas bermula pada April 2024,” kata Felo Kanan di Institut Washington, Holly Dagres.
Sumber keselamatan Israel mendakwa, operasi terbaharu tersebut melibatkan pasukan komando khas yang beroperasi jauh di dalam wilayah Teheran dan seluruh Iran, sambil mengelak dikesan pasukan keselamatan serta agensi perisikan negara itu.
Sumber keselamatan kedua pula mendedahkan operasi Mossad dirancang sejak bertahun-tahun, melibatkan pengumpulan maklumat risikan dan penempatan komando di sebalik barisan musuh.
Malah, sebahagian daripada pasukan komando Mossad dipercayai beroperasi di ibu negara Iran sendiri, menurut sumber tersebut.- CNN










