PUTRAJAYA: Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, 19 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 8.56 malam di sebuah hotel di Jalan Harapan, Petaling Jaya, Selangor.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Namun selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan berhubung jaminan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam secara tertutup yang mana hanya pihak terlibat sahaja dibenarkan masuk ke dalam dewan kerana kes itu melibatkan mangsa di bawah umur dan pertuduhan dibuat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Sementara itu, Naim ketika ditemui Utusan Malaysia bersyukur kerana ahli keluarga menjadi tulang belakang menyokongnya di fasa sukar
Katanya, sejak isu ini mula mendapat perhatian, keluarganya tidak putus mendoakan agar kes membabitkan penyanyi itu berjalan lancar.
“Keluarga saya Alhamdulillah, tak ada masalah. Mereka pun mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya ringkas.
Mengulas mengenai kerjaya seni yang turut terkena impak, Juara Anugerah Juara Lagu ke-34 itu bagaimanapun menyerahkan perjalanan kerjaya kepada pihak pengurusan, XO House.
“Alhamdulillah saya pun tak adalah hendak melatah ke apa, sebab saya punya fokus adalah untuk perkara (kes mahkamah) ini dulu.
“Untuk persembahan, saya masih lagi berbincang bersama pihak pengurusan. Tetapi untuk masa ini kami beri fokus apa yang sudah ada di depan kami dahulu,” katanya. – UTUSAN










