Mohd. Amar sedia pertahan Naib Presiden Pas

Mohd. Amar sedia pertahan Naib Presiden Pas

MOHD. Amar Nik Abdullah (tengah) bersalaman dengan orang ramai yang menghadiri Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bersedia mempertahan jawatan itu sekiranya ada pencalonan pada pemilihan parti berkenaan sempena Muktamar Pas Ke-71 di Kedah, September ini.

Beliau berkata, pencalonan hanya dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan yang bermula bulan ini.

“Selepas selesai mesyuarat, barulah pencalonan untuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas dibuat. Untuk saya sendiri kena tengok dulu terutama jumlah pencalonan. Kalau ramai yang mencalonkan untuk saya mengisi jawatan Naib Presiden, saya akan mempertahan jawatan.

“Bagaimanapun kalau tidak ada pencalonan untuk saya mengisi jawatan itu, maka tak adalah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas me­nyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Panchor itu berkata, terdapat tempoh yang telah ditetapkan untuk pencalonan AJK Pas.

Katanya, kebiasaan jawatan presiden serta timbalan pre­siden tidak ada pertandingan.

“Jawatan presiden dan timbalan presiden biasanya tiada pertandingan sebab kalau ada pencalonan pun, biasanya orang (yang dicalonkan) menarik diri. Kalau ada pertandingan pun di peringkat naib presiden tetapi lebih kepada pertandingan persahabatan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Amar menafikan khabar angin me­ngatakan Dewan Ulama Pas dan Dewan Muslimat Pas me­larang ahli-ahli parti itu me­nyertai Himpunan Turun Anwar yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Jun ini.

“Mari dari mana pula maklumat itu (larangan sertai perhimpunan). Tidak ada maklumat saya terima. Siapa kata tidak boleh turun? Setakat ini tiada larangan dan tidak dengar apa-apa larangan.

“Sebab benda terbuka dan siapa-sapa boleh turun kalau mahu. Arahan pun tidak ada, larangan pun tidak ada. Terpulang kepada diri masing-ma­sing,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×