KANGAR: Selain kaya dengan keindahan flora dan fauna serta kepelbagaian jenis pokok herba yang tumbuh meliar, Banjaran Nakawan yang berusia lebih 480 juta tahun terbentang dari Kuala Perlis sehingga ke Wang Kelian, juga menyimpan khazanah alam tidak ternilai iaitu madu lebah.
Lazimnya, kebanyakan ‘pemburu’ madu mencari hasil berkenaan di pokok tualang, namun berbeza di Banjaran Nakawan kerana madu lebah tersebut berada di pokok Temberas yang ketinggian melebihi 50 meter selain berada di gua batu kapur berketinggian sehingga 100 meter.
Baru-baru ini, Mingguan Malaysia berkesempatan mengikuti seorang pencari madu lebah di Banjaran Nakawan, Hamizat Had, 53, untuk melihat sendiri proses mengambil madu lebah di banjaran berkenaan.
Memulakan perbualan, Hamizat atau lebih mesra disapa Pak Lang berkongsikan pengalamannya yang pernah disengat ribuan lebah sehingga pengsan sepanjang 20 tahun dia memburu madu lebah di kawasan itu.

Katanya lagi, walaupun terpaksa berjam-jam lamanya berada di atas pokok dan mendaki gua batu kapur berketinggian sehingga 100 meter, ia tidak sesekali membuatnya mengalah.
Menurut Pak Lang, dia selalunya akan menaiki motosikal menempuh perjalanan di banjaran tersebut untuk ke lokasi pencarian madu lebah.
Jika di gua batu kapur pula, dia akan menggunakan peralatan mendaki yang mengambil masa lebih lama iaitu sekitar lapan jam bagi mendapatkan madu lebah tersebut.
Kami menempuh perjalanan ke banjaran tersebut dengan menaiki motosikal dan mengambil masa lebih sejam menggunakan laluan di situ yang agak berselut berikutan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.
Selepas tiba di lokasi tersebut pada pukul lapan malam, Pak Lang bersiap-sedia dengan segala kelengkapan seperti baju tebal, penutup muka dan tali keselamatan selain mengetuk paku pada batang pokok yang dijadikan sebagai anak tangga untuk memanjat pokok itu.
Pak Lang memanjat sehingga ke atas pokok dan mengambil masa kira-kira empat jam bagi mendapatkan madu lebah sebelum proses memasuk madu dalam timba.
LEBIH 200 KILOGRAM HASIL MADU DIPEROLEH
Pak Lang berkata, dia mula mencari madu lebah di Banjaran Nakawan sejak tahun 2002 dan meneruskan usaha tersebut sehingga kini.
Katanya, madu lebah di Banjaran Nakawan ini bermusim iaitu dari April sehingga Ogos.
Katanya, dalam tempoh tersebut, dia mampu memanjat bagi mendapat madu lebih daripada 50 kali.
Ujarnya, setiap satu pokok, dia mampu mendapatkan hasil antara 20 sehingga 30 kilogram madu lebah berkenaan.
“Dalam tempoh empat bulan sepanjang musim itu, saya mampu mendapatkan antara 150 sehingga 200 kilogram madu lebah.
“Setiap kali saya pergi mencari madu lebah, sekurang-kurang dua pokok akan dipanjat. Jika di gua pula ia mengambil masa lama sehingga lapan jam.
“Rutin mengambil madu lebah ini saya akan membawa kelengkapan tukul besi, paku panjang, baldi, tali dan tali pinggang keselamatan,” katanya.
UTAMAKAN KESELAMATAN
Menurut Pak Lang, tukul besi digunakannya untuk mengetuk paku pada batang pokok yang dijadikan sebagai anak tangga untuk memanjat pokok Temberas itu.
“Tali digunakan untuk menurunkan baldi yang mengandungi madu lebah. Saya akan memakai baju dan seluar tebal, sarung tangan dan topeng muka bagi melindungi daripada disengat lebah.
“Kelaziman semasa memanjat mengambil madu lebah tersebut, saya juga akan berasapkan sikit agar lebah itu tidak mengganggu.
“Sememangnya banyak cabaran sepanjang lebih 20 tahun mencari madu lebah ini dan antaranya sudah pasti berdepan risiko sengatan lebah. Lapan tahun lalu, saya pernah diserang ribuan lebah sehingga pengsan,” katanya.
Menurutnya, tidak dinafikan, antara cabaran lain yang dihadapinya adalah daripada segi gangguan makhluk halus di pokok kawasan berhutan itu.
“Sebenarnya bukan senang bagi mendapat madu asli ini yang mempunyai 1,001 risikonya dan kita perlu sentiasa berdoa dan keyakinan diri,” katanya.
Tambah Pak Lang, menjadi kebiasaan apabila diusik sarang lebah di atas pokok tersebut untuk mengambil madunya sudah pastinya akan disengat namun dia sentiasa lengkap dengan pakaian keselamatan.

Katanya, apabila diserang atau disengat lebah, ia bergantung kepada antibodi seseorang itu sama ada mampu bertahan atau sebaliknya.
“Jika diserang lebah, kena bertenang tidak boleh panik. Jika panik, jantung akan bergerak laju dan kemungkinan boleh kena serangan jantung. Saya banyak mengamalkan pemakanan herba dan disebabkan itu antibodi atau ketahanan serta keupayaan sistem imun itu lebih kuat.
“Selalunya, saya tidak mengambil masa lama dan jarang juga demam apabila terkena sengatan ini. Jika orang yang tidak biasa, sememangnya boleh demam terkena sengatan lebah ini,” katanya.
SUKAR DIPEROLEH NAMUN BAWA HASIL LUMAYAN
Pak Lang memberitahu, sepanjang empat bulan, dia mampu menghasilkan 200 botol madu lebah yang dijual pada harga RM350 bagi saiz 1,000 milimeter (ml) dan RM100 bagi 200 ml.
“Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat memberasangkan dengan pelanggan dari seluruh negara. Madu asli ini sememangnya mendapat permintaan cukup tinggi dalam kalangan masyarakat kerana kesedaran terhadap kepentingan pengambilan makanan semula jadi itu yang cukup berkhasiat untuk kesihatan.
“Permintaan yang tinggi itu juga, kadang-kala ada pihak yang mengambil kesempatan menjual madu tiruan di pasaran. Untuk mendapatkan madu asli ini, bukan mudah dan disebabkan itu, permintaan sangat tinggi,” katanya.

KOMERSIALKAN PRODUK HERBA BANJARAN NAKAWAN
Sementara itu, selain madu lebah, Pak Lang dan isterinya, Lely Suriana Puteh,51, serta komuniti Wang Gunung juga mencari herba di banjaran tersebut.
Banjaran itu juga memiliki lebih 60 jenis pokok herba yang tumbuh meliar dan sering digunakan penduduk setempat sejak zaman berzaman kerana mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat khususnya untuk kesihatan dalaman.
Antara spesies herba yang terdapat di banjaran tersebut seperti tongkat ali, kacip fatimah, setahun sebuku, kerbau jalang, akar ribu, kunyit akar, daun bidara, jejarum kuning, setahun sehelai, akar larak, belimbing tanah, akar kesinai rancang besi dan derhaka guru.
Bagi mengkomersialkan madu dan herba itu, Pak Lang dengan komuniti Wang Gunung bersama syarikat MEP Ventures Sdn. Bhd. juga mengambil inisiatif membangunkan pelbagai produk herba di bawah jenama Nakawan Herbs untuk dijadikan sebagai tarikan baharu di Perlis.
Lely Suriana berkata, usaha memperkenalkan produk herba berkenaan telah bermula sejak tahun 2022 memandangkan banjaran itu mempunyai pelbagai hasil alam semula jadi yang memberi banyak manfaat.
Katanya, seperti sedia maklum, Banjaran Nakawan sememangnya amat kaya dengan hasil bumi yang mempunyai khasiat tersendiri dan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
“Oleh itu, komuniti di sini melihat peluang tersebut untuk mempromosikan keunikan di banjaran tersebut dengan menghasilkan produk herba yang dapat diperkenalkan sebagai tarikan baharu selain limpahan ekonomi untuk penduduk setempat,” katanya.
Katanya, antara produk dihasilkan di bawah jenama Nakawan Herbs itu adalah seperti minyak kelapa dara Tok Gunung, minyak ikan kedak Tok Gunung, minyak serbaguna Tok Gunung, tungku herba Tok Gunung dan madu lebah Tok Gunung.
Katanya, produk-produk yang dihasilkan itu mempunyai pelbagai kelebihan antaranya menggunakan sumber asli dan tidak mengandungi sebarang bahan kimia.
“Buat masa ini, produk ini dipasarkan dalam negeri terlebih dahulu dan kami dalam perancangan untuk mengembangkan lagi pemasaran di seluruh negara,” katanya.
Katanya lagi, dia mencari hasil herba banjaran itu bersama Pak Lang serta komuniti di sini sejak lebih 15 tahun lalu dengan pelbagai cabaran telah ditempuhi.
Katanya, mereka juga merujuk orang lama di kawasan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung jenis-jenis tanaman herba di banjaran ini.

“Untuk cari tumbuhan herba di sini bukannya mudah malah bagi mendapatkan tumbuhan herba seperti urat emas di banjaran berkenaan juga agak mencabar dengan ketinggian mencecah sehingga 200 meter.
“Selain itu, ancaman haiwan-haiwan liar di sini turut menjadi antara cabaran dalam usaha untuk mendapatkan hasil herba di banjaran ini,” katanya.
Dalam pada itu, pengasas Nakawan Herbs, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, dia berperanan membantu komuniti Wang Gunung dalam mempromosi, pemasaran serta menjenamakan produk-produk herba di Banjaran Nakawan yang turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti berkenaan.
Selain itu, katanya, dia juga menjadi penghubung antara komuniti dan agensi kerajaan bagi membangunkan produk komuniti berkenaan.
“Antaranya madu lebah di Banjaran Nakawan ini, ia cukup istimewa dan mempunyai khasiat yang tinggi selain kelainan madu berkenaan yang sumbernya dari kawasan banjaran batu kapur.
“Bentuk muka bumi selain faktor cuaca panas di Perlis menyaksikan madu lebah di Banjaran Nakawan ini antara paling mendapat sambutan,” katanya.-UTUSAN.










