SHAH ALAM: Bunyi letupan misteri yang menghantui penduduk bandar raya ini sejak bulan lalu terus kekal menjadi misteri setelah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup siasatan isu yang menjadi tular di media sosial.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, siasatan daripada pelbagai aspek gagal mencari punca kewujudan bunyi seakan letupan tersebut.
“Bagi pihak MBSA siasatan kes bunyi misteri itu telah selesai dan tidak diteruskan lagi. Siasatan dari aspek permit kerja-kerja letupan pada malam tersebut telah dijalankan.
“Pihak MBSA dengan ini mengesahkan tiada sebarang kerja-kerja letupan (yang dijalankan pada malam kejadian),” katanya selepas Majlis Pelancaran Parkir Percuma Untuk Warga Emas (Golden Parking) dan Kempen Bayar Dan Menang Cukai Taksiran 2025 di Elmina Lakeside Mall Seksyen U15 yang disempurnakan Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi, di sini semalam.
Utusan Malaysia pada 14 Jun lalu melaporkan, misteri bunyi kuat seakan-akan letupan yang didengari penduduk di sekitar Shah Alam bulan lalu belum mendapat sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya tidak menerima maklumat atau maklum balas konkrit daripada PBT berkaitan gangguan itu setakat ini.
Mohd. Fauzi berkata, pihaknya berpendapat bunyi letupan tersebut berpunca daripada aktiviti orang ramai bermain mercun di sekitar bandar raya itu.
Mengulas mengenai program tersebut beliau berkata, parkir percuma diberi kepada warga emas bagi menghargai golongan tersebut sempena 25 tahun MBSA tahun ini. – UTUSAN










