Mayat Mohammed Sinwar ditemukan dalam terowong bawah tanah

Mayat Mohammed Sinwar ditemukan dalam terowong bawah tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel mengesahkan penemuan mayat ketua sayap bersenjata Hamas, Mohammed Sinwar, di dalam sebuah terowong bawah tanah yang terletak di bawah sebuah hospital di selatan Gaza, hasil operasi khas yang dilancarkan bulan lalu.

Menurut jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Brigedier Jeneral Effie Defrin, pihaknya turut menemukan mayat komander Briged Rafah, Mohammad Shabana, bersama beberapa pejuang Hamas lain yang masih dalam proses pengecaman.

“Kami menemukan satu kompleks bilik di bawah hospital itu, tepat di bawah bilik kecemasan. Di salah satu bilik itulah kami membunuh Mohammed Sinwar,” jelas Defrin.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini mengumumkan kematian Sinwar bulan lalu, namun menurut Defrin, pengesahan DNA yang diperoleh kini membuktikan identiti tersebut tanpa sebarang keraguan.

Setakat ini, Hamas masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan kematian Sinwar mahupun Shabana.

Untuk rekod, Mohammed Sinwar merupakan adik kepada Yahya Sinwar, bekas pemimpin tertinggi Hamas yang terbunuh dalam serangan Israel tahun lalu.

Sepanjang konflik berlarutan itu, tentera Israel beberapa kali menyerbu dan mengepung hospital di Gaza, dengan mendakwa pusat perubatan itu menjadi tempat persembunyian serta operasi pejuang Hamas.

Defrin turut menegaskan serangan di kawasan berhampiran Hospital Eropah itu dirancang secara teliti bagi mengelakkan sebarang kerosakan kepada fasiliti kesihatan tersebut.

Setakat ini, lebih 54,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban dalam serangan berterusan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini berada di ambang kebuluran.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×