Malaysia, Thailand wujud mekanisme awal atasi banjir

Malaysia, Thailand sepakat wujud mekanisme awal atasi banjir Sungai Golok

AHMAD Zahid Hamidi dan Anutin Charnvirakul ketika mengadakan pertemuan di Geneva, Switzerland semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Malaysia dan Thailand bersetuju mewujudkan mekanisme pemakluman awal pelepasan air dari empangan bagi mengatasi isu banjir besar yang sering melanda Kelantan akibat limpahan air luar biasa Sungai Golok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dicapai hasil pertemuannya dengan rakan sajawat dari Thailand, Anutin Charnvirakul semasa menghadiri Sesi Ke-8 Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva, Switzerland, semalam.

Menurut beliau, isu limpahan air dari Sungai Golok yang memberikan kesan kepada kapada Kawasan jajahan di Kelantan yang bersempadan dengan Thailand telah dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.

“Projek tebatan banjir di jajaran Thailand disusuli dengan pelepasan air telah menyebabkan banjir besar dan kerosakan struktur benteng di kawasan jajaran Malaysia.

“Bagi menghadap Monsun Timur Laut yang diramal bermula November ini, saya telah mencadangkan supaya sebarang pelepasan air dari empangan di Thailand dimaklumkan kepada pihak Malaysia sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari lebih awal,” katanya di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia menerusi agensi berkaitan mempunyai masa mencukupi membuat persediaan dan memberi amaran kepada penduduk terutamanya mereka yang tinggal di sekitar lembangan Sungai Golok.

“Alhamdulilah cadangan ini diterima pihak Thailand dan satu mekanisme pemakluman awal akan diwujudkan demi keselamatan dan kebajikan rakyat di kedua-dua negara,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, langkah awal berkenaan akan diperhalusi dengan tindakan susulan lain bagi memastikan kesiapsiagaan bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pemeteraian perjanjian projek Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok serta perancangan pelaksanaan keja-kerja mendalamkan muara Sungai Golok dan pembinaan benteng sungai yang dijadualkan bermula Oktober tahun ini.

Ahmad Zahid kini berada di Geneva bagi mengetuai delegasi Malaysia ke GPDRR dan dijadual menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi Meja Bulat Peringkat Menteri bertajuk Safe Schools Now: Protecting Every Child from Disaster and Climate Risk.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN