LANGKAWI: Kecemerlangan pendidikan tinggi negara yang diiktiraf antarabangsa meletakkan Malaysia sebagai antara tunjang utama diharapkan negara-negara ASEAN untuk menghadapi pelbagai cabaran global yang semakin kompleks.
Pengiktirafan yang bukan sahaja terhadap dasar dan pelaksanaannya tetapi dibuktikan dengan kedudukan tujuh daripada 10 universiti terbaik ASEAN di Malaysia meletakkan negara di landasan tepat untuk terus menerajui sektor itu di rantau ini.
Sehubungan itu, Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN yang berlangsung di Langkawi menjadi platform penting untuk merangka hala tuju Agenda Pendidikan ASEAN 2045.
Pelbagai program diatur sepanjang pertemuan itu antaranya Langkawi Edutourism Geopark Odyssey (Let’s GO ASEAN); ERIA Forum on Talent Development & Future Technology dan Bridging ASEAN Education Session.
Selain itu, GlobalASEAN.org, selaku platform digital baharu yang berfungsi sebagai hab pengetahuan dan ruang bagi pihak berkepentingan ASEAN mengakses dokumen dasar, amalan terbaik dan sumber pembelajaran turut diperkenalkan.
Malah, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani bersama Timor-Leste yang akan membuka lebih banyak peluang strategik merangkumi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET); Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi pendidikan baharu serta latihan dan kursus untuk tenaga akademik.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pertemuan yang julung kali diadakan melibatkan semua menteri pendidikan tinggi ASEAN itu penting untuk merencanakan pelbagai agenda bersama di peringkat ASEAN.
Katanya, Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai rujukan utama dalam sektor pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa, menerusi pencapaian cemerlang institusi pendidikan tinggi negara yang meraih pengiktirafan global.
“Tujuh daripada 10 universiti terbaik di ASEAN berada di Malaysia, dua di Singapura dan satu di Thailand yang sekali gus meningkatkan keyakinan negara-negara ASEAN terhadap keupayaan sektor pendidikan tinggi kita.
“Jadi, itulah sebabnya rakan-rakan kita dari negara-negara ASEAN dalam perbincangan mereka dengan saya menyatakan harapan agar Malaysia dapat memainkan peranan lebih besar dalam bidang pendidikan tinggi untuk ASEAN,” katanya.

Zambry berkata, selain perbincangan mengenai pergerakan pelajar atau pensyarah dari satu universiti ke universiti (mobiliti akademia) ASEAN lain, pertemuan turut berkisar tentang sistem pengiktirafan kepada sijil atau ijazah yang dikeluarkan universiti-universiti ASEAN bagi memastikan kualiti pendidikan dan kesahihannya.
Malaysia juga mencadangkan penubuhan sebuah sekretariat pendidikan tinggi ASEAN yang bakal diterajui negara bagi menyelaras kerjasama serantau dan memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi ASEAN secara bersepadu.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, ERIA Forum on Talent Development & Future Technology adalah siri perkembangan bakat yang selari dengan Visi ASEAN 2045.
Beliau berkata, forum itu direka untuk memupuk para pemimpin industri, penggubal dasar dan institusi pendidikan ASEAN berkongsi penyelidikan dan pandangan tentang rantau itu sebagai hab bakat dalam teknologi masa depan dan sektor baharu.
Ujarnya, dalam konteks GlobalASEAN.org pula, platform itu dibangunkan melalui kerjasama serantau merangkumi sumbangan daripada Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, TalentCorp dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA).
“Kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membincangkan tentang pembangunan bakat bagi masa hadapan, terutamanya dalam menyokong pembinaan komuniti ASEAN menjelang 2045,” katanya.
Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin berkata, agensi di bawah KPT itu pula bertindak selaku pemudahcara kepada kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa ke Malaysia yang bermula dari pintu masuk negara.
“EMGS mengoperasikan Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) di KLIA1 dan KLIA2 yang pertama di dunia dengan membuka ruang kepada pelajar-pelajar antarabangsa untuk datang ke kaunter kami yang dibuka 24 jam setiap hari.
“Kakitangan EMGS akan membawa pelajar-pelajar ini ke kaunter khas imigresen bersama visa yang diluluskan agar memberikan kesenangan kepada mereka yang bukan sahaja datang dari rantau ASEAN tapi negara dari benua lain,” katanya.
Novie berkata, Malaysia yang berperanan sebagai transnational education (TNE) sehingga kini memiliki kira-kira 137,000 pelajar antarabangsa di pelbagai institusi pendidikan yang memberi ruang kepada mereka menimba ilmu di negara ini sebelum melanjutkan pengajian ke negara lain.
Sementara itu, Pengarah Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi (LTA), Rohana Sahak berkata, sektor pendidikan pelancongan berkembang positif apabila terdapat institusi pendidikan di ASEAN menunjukkan minat terhadap pakej pembelajaran berkonsepkan pelancongan.
Beliau yang berperanan sebagai koordinator Let’s GO ASEAN berkata, ia susulan inisiatif pelbagai pihak yang giat mempromosikan pakej pembelajaran berkonsepkan pengalaman sebenar kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.
“LTA menawarkan program TVET dalam bidang hospitaliti khususnya sektor perhotelan dan pelancongan yang mendapat sambutan pelajar di rantau ini. Kami menerima 15 pelajar dari Songkhla Rajabhat University, Thailand yang berjaya menamatkan program Let’s GO ASEAN di LTA.
“Pakej edutourism di bawah seliaan Unit Pengantarabangsaan Bahagian Koordinasi TVET Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ini memberi pendedahan kepada pelajar luar negara mengenai pertukaran budaya, bahasa dan pengalaman komuniti dalam bidang hospitaliti,” katanya.-UTUSAN.