ALOR GAJAH: Pakar ukiran ais di negara ini makin berkurangan walaupun permintaan daripada pihak hotel dan industri terus meningkat setiap tahun.
Pensyarah Kulinari Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka, Mohd. Farid Yusuf berkata, setakat ini hanya beberapa hotel bertaraf lima bintang yang mempunyai kakitangan sebagai pengukir ais.
Beberapa hotel lain pula katanya, sukar untuk mencari pakar bagi memenuhi permintaan pelanggan dan acara yang dianjurkan.
Menurutnya, ketiadaan pengukir ais juga didorong apabila banyak institut pengajian tinggi tidak menawarkan kursus ukiran ais pada pengajian kulinari di peringkat Sarjana, Diploma ataupun sijil.
Selain itu katanya, ramai dalam kalangan pelajar pula tidak berminat untuk mengambil kursus ukiran ais kerana mereka tidak didedahkan dengan kemahiran tersebut walaupun ia menjanjikan pendapatan lumayan.
Katanya, ramai tidak mengetahui bidang kemahiran itu sebenarnya mampu menawarkan pendapatan yang sangat lumayan.
“Kita ada ramai pengukir ais tersohor dunia seperti Chef Jeffrey, Chef John dan Chef Haron. Mereka ini sering mewakili Malaysia serta muncul juara dan naib juara pada pertandingan ukiran ais dunia seperti di Sapporo, Jepun.
“Tetapi mereka sudah berusia serta tidak lagi aktif dan untuk mencari pengganti mereka ini memang amat sukar diperoleh bagi memenuhi permintaan dari pihak hotel dan industri.
“Jika usaha untuk mempopularkan kemahiran ukiran ais yang juga salah satu cabang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak dilakukan lama kelamaan pengukir ais di negara ini akan pupus,” ujarnya kepada pemberita pada Cabaran Masakan Melaka 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd. Farid berkata, promosi berhubung kerjaya itu perlu dipertingkatkan dalam usaha mengalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang kemahiran tersebut.-UTUSAN.










