JELI: Taktik licik sindiket penyeludupan menggunakan treler untuk mengangkut 166 ekor kambing seludup dari Thailand terbongkar selepas kenderaan ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan Kampung Pak Mud di sini kelmarin.
Treler yang dipandu lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 11.45 malam menerusi rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, selain itu pihaknya turut menjumpai 34 ekor biri-biri hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas treler berkenaan.
“Semasa ditahan pemandu treler berkenaan telah menunjukkan dokumen berkaitan haiwan ternakan tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati dokumen itu meragukan dan disyaki palsu.
“Anggaran rampasan termasuk treler dianggarkan berjumlah RM625,000,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya
Katanya, disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Lelaki berkenaan disyaki bertindak sebagai penghantar dan kesemua haiwan tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan,” ujarnya.-UTUSAN