Lebih 1,000 jemaah termasuk 320 pelajar semarakkan doa awal tahun di Masjid Negara

Lebih 1,000 jemaah termasuk 320 pelajar semarakkan doa awal tahun di Masjid Negara

UMAT Islam mengaminkan doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah di Masjid Negara, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun 1447 Hijrah di Masjid Negara semalam disambut penuh tertib dan keinsafan dengan kehadiran lebih 1,000 jemaah termasuk 300 lebih pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Darul Quran Jakim, Mohd Ansarullah berkata, pelajar semester satu Diploma Al-Quran dan Qiraat itu hadir menaiki lapan buah bas dari kampus mereka di Kuala Kubu Bharu, untuk menyerikan suasana sambutan awal tahun Hijrah.

“Kita mahu masjid diraikan oleh golongan muda. Semangat hijrah perlu disemai sejak awal supaya mereka cintakan ibadah dan dekat dengan rumah Allah sepanjang hidup,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Orang ramai mula hadir seawal 6.30 petang bagi merebut keberkatan penghujung tahun Islam sebelum doa penutup tahun dibacakan menjelang masuk waktu solat Maghrib.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bersama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Dr. Na’im berkata, hijrah perlu dimaknai sebagai perubahan menyeluruh, bukan sahaja secara fizikal, bahkan merangkumi anjakan minda serta peningkatan nilai diri dan masyarakat.

“Hijrah ini harus mendorong kita meninggalkan pemikiran negatif kepada yang positif demi membina masa depan Malaysia Madani yang berteraskan nilai dan aspirasi Islam,” katanya ditemui wartawan setelah selesai majlis tersebut.

Beliau juga menzahirkan rasa bangga melihat kehadiran ramai anak muda, menzahirkan kesedaran keagamaan dan azam baharu untuk memperbaiki diri.

Pukul 7.25 malam, bacaan doa penutup tahun 1446 Hijrah dimulakan, diikuti azan Maghrib sebelum Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni memimpin doa awal tahun.

Selesai solat berjemaah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan setelah solat Isyak, turut diadakan solat jenazah ghaib buat Allahyarham Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM yang meninggal dunia pagi semalam di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Muhammad Afif Syahmi, 19, pelajar Darul Quran JAKIM berkata, pengalaman itu membangkitkan kesedaran agar memperbaiki amal ibadah dan menghayati nilai Islam dalam kehidupan.

Joe Razali yang hadir bersama isteri dan dua anak berkata, majlis sebegini dapat membentuk kesedaran rohani dan nilai agama dalam keluarga sejak usia kanak-kanak.

Majlis ini menjadi pembuka tirai kepada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang dijadual berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini