RAWANG: Lebih 100 pemain memeriahkan kejohanan Golf Jemputan Cagamas Ke-17 yang berlangsung di Kelab Golf Templer Park, dekat sini, baru-baru ini.
Antara pemain yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada pemegang saham dari badan kawal selia, institusi kewangan, syarikat korporat dan media.
Kejohanan tersebut adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Cagamas Berhad bertujuan mengeratkan hubungan dan membina kerjasama antara Cagamas dan pihak-pihak berkepentingan.
Dalam kejohanan itu, pemain handikap 6, Gavin Nicholas Fung Jian Han muncul juara kategori Gross selepas mengumpul 41 mata.
Pemain daripada Utusan Malaysia, Imran Mohamad Nor pula muncul juara kategori A selepas berjaya mengutip 39 mata, diikuti wakil dari syarikat korporat, Loh Wen Ken di tempat kedua dan Azlan Abu Bakar dengan masing-masing mencatat 37 mata.
Fitri Abdullah dan Muhammad Syarizal Abdul Rahim pula masing-masing di tempat keempat dan kelima selepas masing-masing turut mengumpul 37 mata, tetapi pemenang ditentukan mengikut kiraan handikap terendah.
Bagi kategori B pula, Mohd. Salihin Othman dinobatkan sebagai juara dengan catatan 36 mata, diikuti Putra Aizat Abdul Rafee di tempat kedua dan Mohamad Zakie Abu Hasan di tempat ketiga juga dengan 36 mata. – UTUSAN