AHMEDABAD: Kotak hitam ditemukan di lokasi nahas pesawat Air India di Ahmedabad, menurut Menteri Penerbangan Awam India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu, pada Jumaat.
Perakam data penerbangan itu berjaya dikesan dalam tempoh 28 jam oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara India (AAIB), katanya dalam satu kenyataan.
Dalam insiden tragik yang berlaku kurang daripada 60 saat selepas berlepas pada Khamis, pesawat yang dalam perjalanan ke London itu terhempas di kawasan perumahan, mengorbankan kesemua 241orang di dalam pesawat kecuali seorang.
Seorang pegawai memberitahu BBC bahawa sekurang-kurangnya lapan orang awam di darat turut terkorban.
“Penemuan kotak hitam ini merupakan satu langkah penting dalam siasatan dan akan banyak membantu usaha mengenal pasti punca kejadian,” kata Kinjarapu.
Pesawat komersial biasanya dilengkapi dua kotak hitam, peranti kecil tetapi tahan lasak yang merakam data penerbangan serta audio kokpit.
Satu menyimpan maklumat teknikal seperti ketinggian dan kelajuan, manakala satu lagi merakam bunyi dan komunikasi dalam kokpit untuk membantu penyiasat mengenal pasti sebarang petunjuk atau bunyi luar biasa sebelum nahas.
AAIB mengetuai siasatan ini dengan sokongan pasukan dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg berkata syarikatnya komited dalam membantu siasatan berkenaan.
Menurut Air India, pesawat jenis Boeing 787 Dreamliner itu membawa 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada.
Pesawat penerbangan AI171itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel pada pukul 1.39 tengah hari waktu tempatan dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Gatwick, London pada pukul 6.25 petang waktu UK.
Sehingga Jumaat, serpihan pesawat masih berselerak di lokasi kejadian termasuk sayap yang hangus terbakar serta bahagian badan pesawat yang tertusuk pada bangunan sekitar.
Pasukan penyiasat telah tiba di tapak nahas dan pihak berkuasa telah mengalihkan orang ramai dari kawasan berkenaan bagi memudahkan siasatan.- BBC










