Korban nahas pesawat Air India meningkat 279

Korban nahas pesawat Air India meningkat 279

SUASANA pilu menyelubungi kawasan bilik mayat hospital di Ahmedabad, dengan ahli keluarga mangsa berkumpul untuk menyerahkan sampel DNA bagi proses pengecaman mangsa nahas pesawat Air India 171.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Sumber polis India mengesahkan sekurang-kurangnya 279 mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat Air India yang terhempas di kawasan perumahan di bandar Ahmedabad.

Angka kematian yang dikemas kini pada Sabtu oleh pegawai kanan di bandar itu, meningkat 279 orang berbanding 265 sebelumnya.

Peningkatan korban itu menjadikan nahas tersebut antara bencana pesawat paling dahsyat pada abad ke-21.

Syarikat penerbangan Air India memaklumkan, 242 individu berada dalam pesawat ke Gatwick, London itu, terdiri 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh Portugal dan seorang rakyat Kanada serta 12 anak kapal.

Hanya seorang penumpang warga Britain yang disahkan terselamat.

Sekurang-kurangnya 38 lagi terkorban di darat apabila pesawat tersebut merempuh bangunan kediaman berhampiran lapangan terbang.

Setakat ini, jumlah korban rasmi belum dimuktamadkan kerana proses pengenalan DNA masih berjalan.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu sempat mengeluarkan isyarat kecemasan beberapa saat sebelum ia terhempas pada Khamis, selepas hanya berjaya naik sekitar 100 meter dari landasan.

Pasukan penyiasat menemukan kotak hitam pertama pada Jumaat di lokasi nahas, manakala pasukan forensik masih berusaha mengesan kotak hitam kedua.

Menteri Penerbangan Awam India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu dalam satu kenyataan berkata, perakam data penerbangan itu berjaya dikesan dalam tempoh 28 jam oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara India (AAIB).

“Penemuan kotak hitam ini merupakan langkah penting dalam siasatan dan akan banyak membantu usaha mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Pesawat komersial biasanya dilengkapi dua kotak hitam, peranti kecil tetapi tahan lasak, yang merakam data penerbangan serta audio kokpit.- AFP/BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN