Kertas siasatan nahas trak FRU siap hujung bulan ini -JPJ - Utusan Malaysia

Kertas siasatan nahas trak FRU siap hujung bulan ini -JPJ

MUHAMMAD Kifli Ma Hassan semasa sidang media selepas Operasi Khas Motosikal Sempena Op Hari Raya Aidiladha di jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan, malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kertas siasatan berkaitan nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu akan siap hujung bulan ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebaik sahaja siap ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Saya telah mengarahkan pegawai penyiasat menyiapkan kertas siasatan itu dalam masa sebulan.

“Kita (JPJ) buka kertas siasatan berkaitan kes tersebut mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (akta 715),” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Motosikal Sempena Op Hari Raya Aidiladha di jalan Kuala Krai di sini malam tadi.

Muhammad Kifli memberitahu, hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan telah melanggar syarat permit apabila membawa muatan yang tidak dibenarkan.

“Sepatutnya lori itu membawa arang batu tetapi telah memuatkan batu kerikil. Ini adalah bahan yang tidak dibenarkan.

“Lori berkenaan telah disita,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, trak FRU yang membawa 18 anggota menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan sementara beberapa lagi cedera dan dirawat di hospital sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN